GOL kedua peribadi Ozil.
GOL kedua peribadi Ozil.

London: Arsene Wenger mengingatkan anak buahnya di Arsenal supaya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Ludogorets pada saingan Liga Juara-Juara pagi semalam.

Skuad kendalian Wenger itu sedang berada pada tahap terbaik dan Ludogorets yang juga kelab kerdil dari Bulgaria tidak berupaya untuk menghalang Gunners daripada mencipta kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan.

Alexis Sanchez menghasilkan gol pembukaan dan Theo Walcott serta Alex Oxlade-Chamberlain turut melakar nama selaku penjaring di Stadium Emirates sebelum Mesut Ozil meledak hatrik pada babak kedua.

Ketika Arsenal mengetuai kumpulan Liga Juara-Juara selepas tiga perlawanan selain berada di kedudukan baik di Liga Perdana di belakang Manchester City dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan, Wenger dan anak buahnya pasti gembira dengan keadaan itu berbanding bergelut musim lalu.

Tetapi pengurus Gunners itu sedar, masalah terlalu yakin bakal merosakkan peluang Arsenal untuk menjulang gelaran musim ini dan justeru, beliau menuntut pemain supaya tetap berpijak di bumi nyata.

“Lebih baik kita tidak terlalu cepat memikirkan soal kejayaan. Kami mempunyai pasukan yang kuat dan semangat juang tinggi tetapi anda perlu sentiasa menjaga dua faktor berkenaan dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan,” kata Wenger.

“Mungkin keyakinan kami tinggi disebabkan kami mempunyai keseimbangan yang baik ketika ini.

“Di dalam bola sepak, keyakinan adalah sangat penting. Pada pendapat saya, ketika ini kami mempunyai semangat yang baik kerana kami menang dan sudah tentu ia tidak merosakkan psikologi pemain.

“Satu-satunya cara untuk menang perlawanan besar ialah tumpuan dan selepas itu kerja keras.”

Walaupun mendahului 3-0 selepas 46 minit, skuad kendalian Wenger tetap menyerang dan pengendali Perancis itu tidak hairan dengan jumlah jaringan yang mereka hasilkan kerana percaya serangan yang baik pasti membawa hasil lumayan.

“Kami sudah lebih bijak menggunakan peluang. Ia juga disumbangkan sentuhan penyudah yang semakin baik,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:43 AM