SANCHEZ (dua dari kanan) jaring gol pertama Arsenal.
SANCHEZ (dua dari kanan) jaring gol pertama Arsenal.

London: Arsene Wenger tegas mengatakan Arsenal masih mampu menyelamatkan persembahan tidak menentu mereka dengan mencuri tempat untuk ke Liga Juara-Juara musim depan dan ia bakal berlaku pada hari terakhir musim ini.

Skuad kendalian Wenger itu menghidupkan peluang untuk layak ke kejohanan elit Eropah selepas dua jaringan Alexis Sanchez membolehkan Arsenal menang 2-0 ke atas Sunderland, semalam.

Kemenangan keenam Gunners sepanjang tujuh perlawanan terakhir itu mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kelima, satu mata di belakang Liverpool dan tiga mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Manchester City.

Jika Arsenal mahu mengelak daripada gagal layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, mereka perlu menang ke atas Everton di tempat sendiri, Ahad ini sambil mengharapkan Liverpool atau City tercicir mata.

Jika Liverpool menewaskan Middlesbrough dan City tidak tewas di Watford, Arsenal akan beraksi di Liga Europa tetapi setakat ini Wenger masih belum mahu mengaku kalah.

“Kami mahu menduduki kelompok empat teratas dan kami mahu memberikan peluang kepada diri sendiri,” katanya. “Jika anda hanya diberikan satu peratus harapan, anda tetap perlu memberikan segala-galanya.

“Saya rasa kami ada peluang baik. Jika kami menang, kami akan hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat. Justeru, kita tunggu dan lihat.”

Ketika Wenger sedar setakat mana Arsenal dianggap gagal kerana tidak mampu berada di kelompok empat teratas musim ini, beliau pasti tahu bahawa sokongan terhadap pasukannya juga semakin kurang.

Terdapat banyak tempat duduk yang kosong di Stadium Emirates semalam gara-gara tindakan protes sebahagian penyokong terhadapnya.

Wenger masih belum menentukan sama ada beliau akan kekal untuk membimbing kelab musim depan tetapi apa yang menjadi kebanggaannya ketika ini ialah bagaimana pengendali Perancis itu membawa anak buahnya ke Liga Juara-Juara sejak 19 tahun lalu.

“Sejak 20 tahun lalu, saya sering berkata bahawa menamatkan saingan di kelompok empat teratas bukanlah soal utama dan semua pihak menerimanya,” katanya.

“Justeru, saya amat terkejut kerana secara tiba-tiba ia menjadi isu besar. Kita boleh terus bercakap tetapi lebih baik saya memastikan kami menamatkan musim dengan 75 mata. Ia akan menjadi salah satu catatan mata terbaik kami dalam tempoh 10 tahun.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:43 AM