SAFEE (tengah) sudah temui sentuhan.
SAFEE (tengah) sudah temui sentuhan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez menyifatkan kekalahan kepada Bengaluru FC pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC 4-2 secara agregat berpunca daripada hilang konsentrasi apabila gagal menyaingi kelab dari India itu.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu tetap memberi pujian terhadap barisan pemainnya yang memberi tentangan sengit selain tetap bangga kerana berjaya melangkah ke separuh akhir dua musim berturut-turut.

Gomez berkata, walaupun terpaksa beraksi tanpa dua tonggak utama, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero yang digantung satu perlawanan namun penyerang Safee Sali mempamerkan aksi membanggakan apabila kerap mengancam kubu skuad kendalian Albert Roca.

Malah pengendali dari Argentina itu menyifatkan perjalanan skuad Harimau Selatan sepanjang kempen Piala AFC musim ini yang terbaik selepas mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan Kumpulan H dan melepasi saingan 16 pasukan terbaik dan seterusnya aksi suku akhir sebelum tewas 3-1 buat pertama kali pada aksi separuh akhir kedua ketika menentang juara Liga India (Liga-I) itu.

“Apa yang boleh saya katakan, pemain sudah beri yang terbaik sepanjang kempen Piala AFC dan pastinya mereka kecewa selepas misi mempertahankan kejuaraan piala itu tidak kesampaian tapi ia tetap membanggakan.

“Skrip awal perlawanan berjalan baik apabila sasaran untuk menjaringkan gol berjaya dilaksanakan namun kesilapan mudah dan hilang konsentrasi memudahkan mereka mencari gol penyamaan sebelum menghukum kami.

“Safee bermain dengan baik walaupun kami terasa tanpa kelibat Diaz dan Lucero. Tapi kami kena terima hakikat perjalanan untuk aksi seterusnya berakhir di separuh akhir saja,” katanya.

Gomez juga berpuas hati dengan semangat melawan barisan pemainnya yang berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad kendalian Albert Roca malah perubahan taktikal dengan meletak Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham di posisi sayap kanan juga tidak mengecewakan.

Malah katanya, pergerakan di posisi tengah yang diterajui Safiq Rahim, Hariss Harun dan Amirul Hadi Zainal juga terbatas selepas barisan pemain lawan sering bertindak menutup ruang dengan ketiga-tiga pemain itu sudah mencuba yang terbaik.

“Kita tutup buku saingan Piala AFC. Ia pengalaman cukup bermakna buat kami dan kini perlu beralih tumpuan kepada saingan Liga Super berdepan Selangor esok. Perlawanan itu penting untuk kami buru kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:40 AM