Noh Omar (enam dari kiri)  menyerahkan surat biasiswa kepada Sarvin  di Taman Yu, Jeram, Kuala Selangor. FOTO AMIRUL AIMAN
Noh Omar (enam dari kiri) menyerahkan surat biasiswa kepada Sarvin di Taman Yu, Jeram, Kuala Selangor. FOTO AMIRUL AIMAN
Amirul Aiman Hamsuddin


"SAYA tidak mungkin dapat mengejar impian menjadi jurutera teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sekiranya tidak memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," ujar remaja, G Sarvin Raaj, 18.

Anak kedua dari tiga beradik itu memperolehi keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan menerima biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke INTEC Education College (INTEC), Seksyen 17, Shah Alam pada 17 Julai ini.

Bercerita lanjut, pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, Kuala Selangor itu berkata, dia perlu menjalani kursus persediaan dalam bidang sains dan teknologi selama dua tahun di INTEC sebelum berlepas ke Jerman.

Menurut Sarvin, dia memilih kursus A-Level (Program Khas Jerman) kerana meminati teknologi automotif dari negara itu khususnya AI sejak dari sekolah lagi.

"Dengan program yang dipilih ini, saya yakin dapat mempelajari teknologi berkaitan negara itu (Jerman) yang terkenal dengan AI.

"Dengan ilmu yang diperoleh, saya berazam untuk menyumbang apa yang dipelajari di sana untuk kemajuan negara," katanya kepada Harian Metro.

Penyerahan surat biasiswa disampaikan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar di rumah keluarganya di Taman Yu, Jeram, Kuala Selangor tadi.

Dalam pada itu, Sarvin berkata, dia berterima kasih kepada Noh yang hadir bagi menyerahkan surat biasiswa itu dan bersyukur ibu bapanya, M Gunasekar, 51 dan S Maliga, 47, sentiasa menyokong setiap perkara yang dilakukannya.

"Saya lebih berminat ke arah bidang automotif walaupun pelbagai tawaran lain diterima sebelum ini. Apabila keluarga memaklumkan saya mendapat biasiswa JPA, tiada kata-kata mampu diucapkan selain mengucapkan syukur kerana beroleh peluang itu," katanya.

Sementara itu Noh berkata, beliau komited membantu para pelajar di Parlimen Tanjong Karang dalam mendapatkan pendidikan terbaik .

"Saya sentiasa mengingatkan pelajar membabitkan golongan B40 bahawa kemiskinan bukan harta pusaka yang perlu diwariskan. Cara terbaik untuk keluar dari kepompong (kemiskinan) adalah dengan memberi pendidikan yang sempurna.

" Setiap tahun, sebanyak 50 peratus peruntukan sebagai Ahli Parlimen dilebihkan kepada pembangunan di sekolah seperti meningkatkan infrastruktur dan kemudahan yang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 7:12 PM