Peti besi yang dijadikan tabung di Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi dipecahkan pencuri. FOTO Hamzah Osman
Peti besi yang dijadikan tabung di Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi dipecahkan pencuri. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Polis menemui beberapa kesan cap jari dipercayai boleh membantu siasatan kes pecah tabung masjid dan mesin urut di Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata,gerakan kini dilancarkan bagi mengesan pemilik cap jari itu kerana dipercayai dapat memberi petunjuk terhadap kes terbabit.

"Dalam kejadian itu, peti besi seberat 252 kilogram yang dijadikan tabung derma diletakkan berhampiran pintu masuk ke ruang solat, manakala mesin urut juga berada tidak jauh dari kawasan sama.

"Kejadian pecah tabung derma dan mesin urut itu disedari sekumpulan jemaah yang tiba untuk solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Che Ghazali berkata, sisasatan awal mendapati suspek mengumpil peti simpanan wang tunai pada mesin urut dan melarikan sejumlah wang.

"Sejurus itu, suspek juga cuba memecahkan peti besi tabung derma, namun gagal dipercayai terkejut apabila lampu masjid menyala secara automatik pada jam 5 pagi.

"Hasil siasatan juga mendapati masjid itu dipasang lapan kamera litar tertutup (CCTV), namun satu CCTV yang menghala ke arah tabung derma itu dialih oleh suspek," katanya.

Beliau berkata, kerugian akibat kejadian itu dianggarkan RM4,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 8:28 PM