FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS sedang mengesan empat suspek yang membawa lari wang derma serta barangan dihadiahkan kepada si mati anggaran nilai RM1,000 selepas memecah masuk Taman Peringatan di Jalan Kuala Dipang-Kampar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian itu disedari penjaga memorial berkenaan jam 7.50 pagi semalam selepas mendapati pintu utama memorial terbuka.

Menurutnya, pemeriksaan oleh penjaga berkenaan mendapati dua tabung mengandungi wang derma yang dikunci dengan mangga serta 15 pintu peti simpanan abu mayat sudah dipecahkan.

“Pelbagai barangan peribadi hadiah kepada si mati yang diletakkan di dalam almari cermin antaranya ada barangan palsu serta tulen didapati hilang seperti rokok dan jam tangan.

“Bangunan berkenaan dilengkapi CCTV (kamera litar tertutup). Rakaman menunjukkan perbuatan itu dilakukan empat lelaki yang sebelum itu memecah masuk bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Hasron Nazri berkata, rakaman CCTV menunjukkan keempat-empat suspek memasuki kawasan bangunan sebelum memecah pintu jeriji besi menggunakan pemotong besi bersaiz besar.

Katanya, sebaik berjaya memasuki bahagian dalam bangunan, suspek dilihat mengambil barang peribadi dalam almari abu mayat dan memecahkan tabung derma yang mengandungi wang tunai.

“Usaha mengesan semua suspek sedang dijalankan berdasarkan kesan cap jari yang ditemui di tempat kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457/297 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:08 PM