Mohd Hilmie Hussin


TIGA lelaki termasuk remaja dipercayai pecah masuk sebuah tokong di Kampung Enam, di Melaka, tidak menyangka tindak tanduk mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV), dalam kejadian awal pagi, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi hingga 7 pagi itu, disedari Koordinator Tokong Melaka Lee Kuan Wah, 63, yang ke tokong itu untuk membuka pintu tokong kira-kira jam 7 pagi.

"Apabila nak buka pintu tokong, saya lihat cermin nankor di sebelah dipecahkan manakala batang besi tingkap terbabit dibengkokkan. Apabila saya buka pintu tokong, saya terkejut melihat peti tabung derma dipecahkan.

"Mereka pecahkan pintu tabung menggunakan pengumpil yang ditinggalkan di atas lantai," kata Lee, ketika ditemui.

Lee berkata, susulan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera.

Katanya, kali terakhir tabung derma tokong itu dikemaskini kira-kira sebulan lalu dan dipercayai terdapat RM2,000 di dalamnya.

"Sebelum ini pada 2012, 2014 dan 2016, pernah ada kecurian di tokong ini tapi membabitkan barang-barang yang diletakkan di luar tokong. Antara yang hilang dalam kejadian sebelum ini adalah tembaga tempat memacak colok, kuali-kuali dan sebagainya.

"Justeru, kami syaki penagih dadah yang tinggal dalam kampung ini juga melakukan jenayah ini, apa lagi ini kali pertama tokong ini dipecah masuk," kata Lee lagi.

Tambah Lee, apabila masuk ke dalam tokong, tiga lelaki terbabit bertindak mengalihkan arah rakaman tiga CCTV namun mereka tidak sedar satu lagi CCTV yang diletakkan di atas berhampiran tabung, sedang merakam tindak tanduk mereka.

Berdasarkan rakaman rakaman CCT itu, tiga lelaki terbabit sedang asyik memecah tabung derma sebelum mendongak ke arah CCTV lalu menutup pintu tabung derma dan beralih dari rakaman CCTV.

Mereka kemudian bertindak menutup CCTV dengan kain bagi mengelak dirakam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:11 PM
Tingkap dipecah besi yang dibengkokkan manakala kapak dan batang besi bertaburan di atas lantai dipercayai digunakan untuk memecah tabung derma.
Tingkap dipecah besi yang dibengkokkan manakala kapak dan batang besi bertaburan di atas lantai dipercayai digunakan untuk memecah tabung derma.