Anggota SPRM mengiringi peniaga ayam goreng (kanan) untuk mendapatkan perintah reman terhadapnya di Mahkamah Alor Setar atas pertuduhan berhubung sindiket kereta klon dari negara jiran. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Anggota SPRM mengiringi peniaga ayam goreng (kanan) untuk mendapatkan perintah reman terhadapnya di Mahkamah Alor Setar atas pertuduhan berhubung sindiket kereta klon dari negara jiran. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seorang peniaga ayam goreng direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berkaitan sindiket kereta klon dari negara jiran.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Dalilah Ismail yang membenarkan reman sehingga 18 Oktober ini.

Suspek berusia 24 tahun tiba di pekarangan  Mahkamah Alor Setar jam 10.05 pagi tadi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek ditahan di Bangi, Selangor jam 10 malam tadi  dalam operasi khas SPRM Ops Piang.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan namun enggan mengulas lanjut.

SPRM sebelum ini dalam satu kenyataan mengesan seorang lelaki bernama Mohammad Fareez Hasim atau dikenali sebagai Kodek bagi membantu siasatan berhubung kes kereta klon.

Harian Metro sebelum ini melaporkan usaha menjejaki lelaki itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan SPRM menangkap seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan suaminya masing-masing berusia 30-an di Alor Setar, Kedah, berkaitan sindiket menjual kenderaan seludup Singapura pada 20 September lalu.

Difahamkan tangkapan dilakukan berhubung pemalsuan 100 dokumen kenderaan mewah yang dilupuskan di Singapura sebelum dijual semula di negara ini dengan harga kenderaan terpakai.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 1:54 PM