LAPORAN akhbar Harian Metro mengenai sindiket klon kereta.
LAPORAN akhbar Harian Metro mengenai sindiket klon kereta.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Lelaki dikenali Kodek atau nama sebenarnya, Mohammad Fareez Hasim, 24, dilepaskan dengan jaminan SPRM, hari ini, sementara menunggu siasatan kes itu selesai.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata, lelaki itu yang berasal dari Felda Jengka 6, Bandar Jengka, Pahang, dibebaskan selepas memberi kerjasama ketika disoal siasat.

Menurutnya, dia dibebaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu siasatan kes itu selesai untuk pertuduhan di mahkamah nanti.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Dalilah Ismail, Rabu lalu, membenarkan Kodek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan orang kuat rangkaian sindiket kereta klon dicekup dan suspek ketujuh yang ditahan itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan ayam goreng.

Kodek ditahan kira-kira 10 malam, Selasa lalu, di Bangi, Selangor dan dia amat dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes kereta klon.

Sumber SPRM, berkata hasil soal siasat ke atas seorang pembantu penguat kuasa dan pembantu tadbir pengkeranian dan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang ditahan pada 22 September lalu mendapati Kodek adalah antara dalang utama sindiket kereta klon.

Menurutnya, Kodek bertanggungjawab membekalkan dokumen asli termasuk geran kenderaan kepada pembeli kenderaan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 2:14 PM