Sepang: “Lupakan perlawanan pertama, kita buka buku baru.”

Demikian tegas pemain sayap negara Amri Yahyah kepada rakan sepasukan menjelang perlawanan final kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas dikecewakan Thailand pada perlawanan pertama.

Bagi Amri, tiada yang mustahil untuk Harimau Malaya bangkit kerana pernah melakukannya sebelum ini.

“Perlawanan pada Sabtu (malam esok) yang terakhir untuk skuad negara tahun ini. Sudah semestinya kita perlu berikan yang terbaik selain bangkit daripada kekalahan.

“Yang penting kita perlu menjaringkan dua gol awal untuk memadam defisit Thailand,” katanya ketika ditemui semalam.

Amri mengaku, kekerapan untuk bertahan terutama di separuh masa kedua akhirnya memakan diri.

“Ketika itu kita kurang fokus untuk menyerang. Tapi saya percaya keadaan pasti berbeza di Bukit Jalil kerana kita perlukan gol awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:07 AM