Hanoi: Selepas hanya berada di bangku penonton ketika Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Vietnam Ahad lalu, pemain sayap, Mohd Amri Yahyah kini tidak sabar kembali bagi pertembungan kedua malam ini.

Amri, 33, digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning pada peringkat kumpulan dan ketiadaannya cukup dirasai khususnya di bahagian serangan yang dilihat tumpul.

Kehadirannya semula dalam kesebelasan utama Dollah Salleh pasti memperkuatkan lagi pasukan yang memburu kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk mara ke final.

“Saya percaya kami perlu mencari gol awal untuk membakar semangat pemain. Saya harap kami tidak tertekan, bermain seperti biasa dan mengikut strategi dirancang jurulatih,” katanya kepada Arena Metro selepas sesi latihan terakhir di padang latihan Stadium Nasional My Dinh semalam.

Amri, tonggak Johor Darul Ta’zim kini mengumpul satu gol yang dihasilkan ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Thailand pada saingan Kumpulan B di Singapura.

Dia percaya, kekuatan pasukan tidak bergantung kepada seseorang individu sebaliknya mereka perlu memberi komitmen sepasukan.

“Ini misi hidup mati dan semua pemain perlu bekerjasama. Kita perlu bergerak dalam satu pasukan dan tidak mustahil kita akan bangkit,” kata Amri yang turut berada dalam skuad juara 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:52 AM