HELMI bersama sebahagian produk krafnya.
HELMI bersama sebahagian produk krafnya.
HELMI bersama sebahagian produk krafnya.
HELMI bersama sebahagian produk krafnya.
KRAF kayu teras yang memberikan imej tertentu dan pilihan kebanyakan pemilik kediaman.
KRAF kayu teras yang memberikan imej tertentu dan pilihan kebanyakan pemilik kediaman.
HELMI bersama kraf daripada tempurung kelapa.
HELMI bersama kraf daripada tempurung kelapa.
PELBAGAI produk kraf Helmi yang menawarkan rekaan dan nilai estetikanya tersendiri.
PELBAGAI produk kraf Helmi yang menawarkan rekaan dan nilai estetikanya tersendiri.
BAHAN berasaskan sumber asli dikreatifkan menjadi kraf menarik.
BAHAN berasaskan sumber asli dikreatifkan menjadi kraf menarik.
Mohd Amin Jalil


Perincian seni yang diterapkan pada senduk tempurung antara keunikan hasil kerja tangan anak muda ini yang sudah pun menembusi pasaran Itali.

Nilai estetika yang terdapat pada dekoratif kraf dihasilkannya menjadi tarikan hingga diiktiraf antara produk bermutu dan eksklusif.

Hakikatnya, Helmi Naim Ahmad, 21, usahawan Orang Asli dari kaum Temuan, bukan lagi asing dalam kalangan peminat kraf tangan tempatan.

Tiada siapa sangka, dalam kesibukan menyiapkan tempahan beliau sebenarnya bakal mempromosikan hasil krafnya di Jerman tidak lama lagi.

Malah, beliau yang pernah menerima tiga kali anugerah Usahawan Jaya mengakui produk hiasan seperti pancuran air daripada tempurung kelapa dan aksesori laman berasaskan tunggul kayu terbuang menjadi produk kesukaan ramai.

Anak muda yang bercita-cita tinggi ini juga gemarkan cabaran dan menjadikan kepelbagaian cita rasa pembeli produk krafnya antara cetusan idea terbaik.

Kepakarannya dalam menghasilkan pelbagai jenis kraf untuk hiasan dalaman dan luar rumah sesuai dalam menyerikan semua konsep khususnya warisan Melayu dan Nusantara.

Kecenderungan itu membuatkan pengusaha kraf ini tidak menang tangan menghasilkan produk hiasan eksklusif.

“Aspek ketahanan dan sentiasa natural atau semula jadi membuatkan ia menjadi pilihan utama.

“Semuanya berasaskan sumber alam semula jadi dan begitu dekat dengan kita,” katanya.

Kayu balak terbuang jenis tembusu seperti teras dan merbau, buluh, kulit biji getah, tempurung kelapa dan rotan antara bahan asas kraf Helmi dari Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan ini.

Berdepan dengan kerja yang rumit dan mencabar selain memerlukan daya kreativiti tinggi, Helmi sentiasa berusaha untuk menghasilkan kraf terbaik.

Malah, anak tunggal dalam keluarga itu yang juga pemilik Temuan Abo Kraf (TAK), mengakui tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Menurutnya, ibu dan bapanya, Wook Daudat, 49, dan Yusof Salim, 60, lebih menumpukan perhatian kepada kraf berasaskan rotan serta anyaman.

Sementara beliau pula dibantu tiga pekerja memberi tumpuan kepada perabot dan perhiasan rumah.

“Sebaik menamatkan persekolahan pada tahun 2011, saya terus mengorak langkah mengusahakan produk kraf berasaskan sumber hutan dan alam semula jadi kerana yakin ia berpotensi besar.

“Produk kraf berasaskan kayu hutan menjadi pilihan utama saya kerana penghasilannya daripada proses bahan mentah hingga kemasan terakhir benar-benar memerlukan ketekunan serta kepekaan.

“Apabila produk berkenaan terhasil, ia menjadi daya tarikan dan kraf cenderahati yang ringkas sudah cukup menggambarkan nilai seninya yang tinggi,” katanya ketika ditemui di pusat operasinya di kampung itu, baru-baru ini.

Permintaan yang tinggi terhadap produk kraf membuatkan pencinta seni itu sentiasa mencari kelainan.

Daripada produk kecil berbentuk cenderahati, bakul pelbagai guna hingga elemen untuk hiasan rumah, semuanya dihasilkan dengan penuh ketelitian.

“Secara purata saya sudah mengeluarkan lebih 200 jenis produk kraf untuk pelbagai keperluan dalam dan luar rumah.

“Ia mengabungkan seni hiasan tempurung, seni reka bentuk semula jadi, perabot seni tunggul, seni reka kerawang dan seni reka anyaman.

“Bagi saya setiap seni yang dihasilkan menerusi ukiran membawa perlambangan menarik dengan seribu satu nilai estetika dan keindahan itulah yang meletakkan ia antara produk kraf terunggul,” katanya.

Helmi yang mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, sentuhan seni pada ukiran kayu memberi gambaran berbeza kerana ditampilkan dengan karakter tersendiri tanpa perlu menceduk idea orang lain.

“Dalam mempertahankan keindahan seni ukiran kayu, kita perlu mencipta identiti sendiri dan berani menzahirkan kelainan.

“Ukiran kayu yang menjadi tarikan dan menyimpan khazanah paling bernilai terletak pada ketulenan serta kehalusan seninya,” katanya.

Daripada kelainan itu, perincian kerja tangan Helmi jelas kelihatan menerusi pelbagai motif pilihan yang dihasilkan mengikut permintaan pelanggan.

Di atas kayu berkualiti terutama merbau, teras dan nyatoh, garapan seni ukiran kayu ditonjolkan menerusi motif alam khususnya bunga.

“Setiap produk yang dicipta perlu dilakukan dengan teliti supaya hasilnya mampu memberikan nilai seni luar biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:04 AM