MUHAMMAD mengambil masa untuk mengukir kerana dilakukan dengan teliti agar hasilnya berkualiti.
MUHAMMAD mengambil masa untuk mengukir kerana dilakukan dengan teliti agar hasilnya berkualiti.
UKIRAN pada pintu dibuat dengan teliti agar terserlah keseniannya.
UKIRAN pada pintu dibuat dengan teliti agar terserlah keseniannya.
MEJA dan kerusi dihasilkan daripada kayu balak.
MEJA dan kerusi dihasilkan daripada kayu balak.
Mohd Rafi Mamat


Keunikan bentuk yang ada pada beberapa bahagian pokok membolehkan individu bernama pengukir menghasilkan pelbagai produk amat menarik dan tidak pernah terfikir untuk dihasilkan.

Selain batang dan tunggul, akar pokok jenis cengal, merbau, tembusu dan balau kini menjadi buruan individu yang terbabit dalam industri ukiran di pantai timur sejak berpuluh tahun lalu.

Kekuatan dan kecantikan kayu menjadi faktor utama sebelum sesuatu produk seperti katil, buaian, meja, kerusi dan almari dihasilkan seterusnya mampu dijual dengan harga lumayan.

Ia diakui pengukir terkenal di pantai timur Muhammad Draman, 61, dari Kampung Chendor Sempadan, Kuantan, yang terpaksa menempah daripada pekerja hutan bagi mendapatkan kayu bermutu tinggi.

Bagi mendapatkan kepuasan, warga emas itu turut masuk ke hutan mencari sendiri tunggul dan akar kayu pelbagai saiz dan bentuk untuk dijadikan produk dianggap unik dan menarik.

“Tahun lalu, ketika masuk ke hutan saya bertemu dengan akar pokok cengal, walaupun sedikit rosak, namun disebabkan bentuk menarik saya berusaha mendapatkannya dengan apa juga cara. Selepas menggunakan lori, akar itu berjaya dibawa pulang.

“Usaha itu dianggap berbaloi apabila buaian dihasilkan berjaya dijual dengan harga RM4,500, saya bersyukur semua produk dihasilkan mendapat permintaan daripada pengguna,” kata bapa kepada 10 anak itu.

Dia yang pernah menghasilkan ukiran kayu di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, berkata permintaan terhadap perabot diperbuat daripada kayu cengal dan merbau kini begitu menggalakkan walaupun harganya agak mahal.

Katanya, selain ketahanan pada kayu jenis berkenaan, warna menarik turut menjadi tarikan utama kepada peminatnya.

“Disebabkan tertarik menyebabkan peminatnya sanggup berbelanja besar,” katanya.

Muhammad yang mempunyai bengkel ukiran kayu di Kampung Chendor Sempadan berkata, minat dan darah seni dimiliki menjadi pencetus kepada kebolehannya menghasilkan barangan perabot kayu.

“Saya menghasilkan kraf tangan daripada pelbagai jenis kayu seperti cengal, merbau, tembusu, jambu laut dan bintangor yang dijual antara RM3,000 hingga RM15,000 bergantung kepada jenis kayu dan produk.

“Ada individu inginkan meja diperbuat daripada kayu balak, saya terpaksa membelah balak menggunakan mesin yang ada. Walaupun berdepan pelbagai masalah, namun bayaran diterima memuaskan.

“Dengan adanya perabot kayu di dalam rumah akan menyerikan lagi suasana selain dapat menyerlahkan kekayaan individu terbabit,” katanya yang pernah mendalami ilmu ukiran dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Katanya, generasi muda hari ini kurang meminati seni ukiran walaupun terbukti dapat memberikan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, latihan dan bantuan memulakan perniagaan disediakan kerajaan diharap menarik minat generasi muda menceburi bidang kraftangan secara serius kerana tanpa pembabitan golongan terbabit masa depan seni kayu akan suram.

“Saya sedia mencurah ilmu kepada generasi muda yang ingin belajar bagi memastikan masa depan kraftangan kayu terus berkembang seterusnya menjadi kebanggaan masyarakat Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 10:53 AM