20 pelatih dari Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Serdang, Bandar Baharu di bawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk di dakwa atas beberapa kesalahan disiplin. FOTO Azahar Hashim
20 pelatih dari Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Serdang, Bandar Baharu di bawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk di dakwa atas beberapa kesalahan disiplin. FOTO Azahar Hashim
Norul Awatif Romli


Kulim: Seramai 20 penghuni Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Khas Serdang, di sini, dijatuhi hukuman penjara antara 11 hingga 13 bulan atas pertuduhan melakukan pelbagai kesalahan disiplin melampau termasuk menggunakan dadah ketika menerima rawatan dan pemulihan di pusat berkenaan bermula Mei lalu sehingga awal bulan ini.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 30 hingga 42 tahun itu membuat pengakuan salah di hadapan hakim Musyiri Peet sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Majistret Bandar Baharu, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, seramai 15 tertuduh didakwa melakukan kesalahan membuat tatu semasa berada dalam pusat pemulihan CCRC Serdang kira-kira jam 9.30 pagi pada 8 Jun lalu.

Tertuduh ialah Nurul Asyraf Shahrul Anwar; Mohd Damhury Md Ariffin; Mohamad Khairul Johari Abdul Hamid; Shaiful Nizam Jaafar; Mohamad Farizan Salleh; Khairul Azzuan Zahari; Mohd Najib Abu Hassan; Ahmad Kamal Shah Othman; Mohd Izuan Azman; Azman Abdul Hamid; Mohd Zulkhainain Zabidi; Mohd Safarin Baharin; Mohamad Redzuan Abd Zahni; Mohd Hapfif Yahaya dan Nasir Abdul Salam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) (a) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Musyiri dalam prosidingnya kemudian menetapkan 15 tertuduh terbabit dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan dari tarikh ditangkap.

Manakala, tiga lagi tertuduh didakwa mengambil dan menggunakan dadah berbahaya jenis morfin di CCRC Serdang kira-kira jam 9 pagi pada 25 Mei lalu.

Tertuduh bagi kesalahan itu membabitkan Muhamad Rasyidee Zulkefli; Badrulshah Bahar dan Zanzuri Md Yusoff.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 20 (1) (b) APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang memperuntukkan hukuman sama.

Bagi kesalahan itu hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan dari tarikh ditangkap terhadap ketiga-tiga mereka.

Sementara itu, dua lagi tertuduh didakwa melakukan kesalahan membawa dan menggunakan telefon bimbit di CCRC Serdang kira-kira jam 11 pagi pada 25 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh iaitu Mohd Ridzuan Samsudin dan Lim Eng Bok didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) (a) APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 yang memperuntukkan hukuman sama.

Hakim menetapkan kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan dari tarikh ditangkap.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah Zakaria Mat Saed, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 1:53 PM