Muhammad Farhan (kanan) dan Mohd Shaiful Azrun (kiri) meninggalkan kamar mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara lapan bulan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Muhammad Farhan (kanan) dan Mohd Shaiful Azrun (kiri) meninggalkan kamar mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara lapan bulan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara terhadap dua tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Tiang Dua, hari ini selepas mengaku bersalah lari dari pusat tahanan itu pada 18 November tahun lalu.

Tertuduh Mohd Shaiful Azrun Zakariah, 37, dan Muhamad Farhan Jamawi, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh sengaja lari dari jagaan atau tahanan PUSPEN yang sah disisi undang-undang pada jam 11.35 pagi hingga 4.10 petang, pada 18 November 2015.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, Mohd Firdaus kemudian menjatuhi hukuman penjara lapan bulan dari tarikh ditangkap iaitu 18 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 3:04 PM