AFP

Manila: Walaupun dikritik hebat selepas kempen memerangi dadahnya mengakibatkan lebih 3,000 suspek dibunuh dan mengeluarkan pelbagai kenyataan kontroversi, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilihat semakin popular dalam kalangan rakyat negara itu.

Satu tinjauan pendapat bebas yang disiarkan semalam sempena tiga bulan pemerintahan Duterte mendapati majoriti besar responden berpuas hati dengan prestasi pemimpin itu.

Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Stesen Cuaca Sosial mendapati 76 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Duterte sejak dia berkuasa pada Jun lalu.

Manakala cuma 11 peratus responden menyatakan tidak berpuas hati dengan prestasi Duterte dan selebihnya tidak membuat keputusan.

“Prestasi presiden bermula dengan sangat baik. Apa yang dilakukan Duterte mendapat kepercayaan rakyat,” kata jurucakap Duterte.

Kumpulan kaji selidik berpangkalan di Manila itu membuat tinjauan terhadap 1,200 responden dewasa di seluruh negara pada 24 hingga 27 September lalu.

Setiap responden ditanya pendapat mereka mengenai prestasi Duterte sebagai presiden tanpa merujuk kepada kempen memerangi dadah pemimpin itu.

Keputusan tinjauan pendapat itu menunjukkan populariti Duterte melonjak dan menerima lebih banyak sokongan berbanding ketika pilihan raya presiden pada Mei lalu.

Pada pilihan raya itu, Duterte dianggap menang besar walaupun hanya memperoleh 37.6 peratus undian.

Duterte mendapat sokongan besar selepas dia berjanji untuk membasmi jenayah dalam tempoh enam bulan pemerintahannya.

Sejak Duterte berkuasa, lebih 3,000 suspek dadah dibunuh dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkan presiden itu sehingga dikritik hebat aktivis hak asasi manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:28 AM