DUTERTE.
DUTERTE.
Reuters

MANILA: Kajian menunjukkan sebahagian besar rakyat Filipina menyokong kempen memerangi dadah Presiden Rodrigo Duterte walaupun dikecam antarabangsa mendakwa Duterte melakukan jenayah kemanusiaan.

Tinjauan pendapat oleh Social Weather Stations membabitkan 1,200 responden menunjukkan kempen tiga tahun Duterte itu pada kedudukan ‘cemerlang’ dengan 82 peratus berpuas hati.

Sejumlah 12 peratus lagi tidak berpuas hati kerana percaya perdagangan dadah masih berleluasa selain terlalu banyak pembunuhan serta salah guna kuasa oleh polis.

Data itu dikeluarkan dua hari selepas pekeliling presiden mengarahkan jabatan dan firma kerajaan menolak pinjaman dan bantuan daripada 18 negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dibocorkan.

Polis mendakwa, lebih 6,700 suspek pengedar dadah dibunuh kerana melawan ketika cuba ditahan selain turut menafikan terbabit dengan pembunuhan misteri ribuan lagi penagih dadah.

Tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melakukan siasatan awal untuk menentukan kemungkinan ada alasan menyiasat Duterte menyebabkan presiden itu membatalkan keanggotaan Filipina dalam mahkamah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 12:30 PM