PETIKAN dari klip video yang tersebar, hari ini.
PETIKAN dari klip video yang tersebar, hari ini.
Oleh Nazdy Harun


Kuala Berang: Klip video yang menunjukkan hujan lebat serta air deras turun dari bukit bukannya Empangan Kenyir pecah seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial Facebook hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, klip tersebut menunjukkan hakisan yang berlaku akibat hujan lebat di kawasan tasik itu yang mana terdapat jalan menghubungkan kawasan tertentu di dalamnya, bukannya empangan pecah.

Video berdurasi kurang satu minit itu menjadi viral dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Dalam pada itu, kementeriannya meminta orang ramai supaya mendapatkan maklumat tepat berkaitan banjir dan bukannya menerima sepenuhnya gambar atau berita yang tidak disahkan, katanya yang ditemui di Kampung Kua, dekat sini.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan sumber berita tepat daripada pihak berwajib," katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 8:47 PM