PEGAWAI mengawasi limpahan air di empangan berkenaan.  - AP
PEGAWAI mengawasi limpahan air di empangan berkenaan. - AP

San Francisco: Kira-kira 200,000 penduduk diarah berpindah semalam selepas kerosakan pada alur tumpahan tambahan sebuah empangan di utara California meningkatkan kebimbangan struktur itu akan pecah.

Pusat takungan air Empangan Oroville yang terletak 120 kilometer ke utara Sacramento, ibu negeri California penuh selepas hujan lebat beberapa minggu.

Menurut pegawai, empangan sedalam 234 kilometer itu tidak mungkin runtuh, tetapi kerosakan alur tumpahan kecemasan mencetuskan kebimbangan ia akan menenggelamkan kediaman di sekitarnya.

Pihak berkuasa terpaksa melepaskan 2,830 kubik meter air sesaat menerusi alur tumpah utama bagi memastikan air berada di bawah paras alur tumpah kecemasan, kata jurucakap Jabatan Sumber Air, Doug Carlson.

Kira-kira 188,000 penduduk yang mendiami kawasan sekitar empangan itu diarah berpindah awal semalam.

“Ya. Penduduk diarah berpindah. Semua penduduk di lembah empangan itu diarah berpindah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perkhidmatan Kecemasan di laman Facebooknya.

Terdahaulu, dalam kenyataan awalnya menerusi Twitter pada jam 4.30 petang (8.30 pagi waktu Malaysia), Jabatan Sumber Air California berkata, alur tumpahan tambahan itu diramalkan musnah beberapa jam lagi.

Bagaimanapun, menjelang petang, keadaan menunjukkan ia masih utuh.

Empangan itu yang dibina antara 1962 dan 1968 adalah yang tertinggi di Amerika Syarikat, mengatasi Empangan Hoover. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 10:11 AM