ADA pihak melihat tindakan penternak menjual kambing dengan harga terlalu murah  merosakkan harga pasaran ternakan itu di negara ini.
ADA pihak melihat tindakan penternak menjual kambing dengan harga terlalu murah merosakkan harga pasaran ternakan itu di negara ini.
Muhamaad Razis Ismail dan Zatul Iffah Zolkiply dan Paya Linda Yahya

Kuala Lumpur: Bagaikan 'jualan runtuh' dengan potongan hampir 90 peratus. Itu yang berlaku apabila semakin ramai penternak kambing didapati menawarkan harga sehingga RM150 bagi seekor kambing kepada orang ramai.

Harga itu dianggap hampir tidak munasabah susulan kebiasaannya seekor kambing dijual sekitar RM1,200 seekor sebelum ini di pasaran sama ada untuk tujuan aqiqah atau sembelihan.

Malah iklan kambing yang dijual pada harga luar biasa ini dibuat secara terbuka di media sosial termasuk Facebook, TikTok, Instagram.

Fenomena kambing murah ini dilihat semakin berleluasa sejak akhir tahun lalu dengan pelbagai tawaran menarik tidak masuk akal.

Ada kalangan penternak yang menjual tiga kambing seberat sehingga 30 kilogram setiap seekor pada harga 'pakej' RM1,000 sahaja.

Malah terdapat juga penternak yang lebih berani menjual kambing pada harga RM1,000 untuk empat kambing dewasa.

Pembelian dibuat secara pukal akan diberikan harga lebih murah berbanding pembelian seekor kambing.

Bukan itu sahaja, penternak turut menawarkan perkhidmatan penghantaran secara percuma bagi pembelian pukal dengan tawaran harga yang lebih berpatutan.

Malah di ruangan komen di media sosial turut mengundang pelbagai maklum balas dalam kalangan warga net berkenaan tindakan ramai penternak terbabit.

Ada dalam kalangan netizen dilihat menyambut baik dan memuji usaha dilakukan penternak dalam membantu ramai individu tidak berkemampuan untuk membeli kambing sama ada untuk dijadikan sebagai ternakan, aqiqah dan sebagainya.

Tidak kurang juga menyatakan, ia hanyalah taktik penternak untuk menarik perhatian pembeli sedangkan harga kambing yang ditawarkan itu untuk saiz ternakan yang lebih kecil.

Pada masa sama, ada juga yang meragui status kambing terbabit yang dikatakan diseludup dari negara jiran.

Malah ada melihat tindakan penternak itu merosakkan harga pasaran ternakan itu di negara ini.

Seorang penternak kambing baka tempatan dan juga berpengalaman menternak kambing import yang memiliki sijil yang sah, Asmah Chem mendedahkan isu terbabit di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

"Jika terdapat iklan kambing murah di bawah harga pasaran, ia tidak lain tidak bukan adalah kambing yang diimport dari luar, khususnya dari Thailand.

"Kenapa kambing dari Thailand lebih murah? Sebab utamanya adalah kerana kos bahan mentah dedak di Thailand jauh lebih murah berikutan dihasilkan sendiri pengilang tempatan. Berbanding di Malaysia, kita mengimport bahan mentah dedak dari negara luar termasuk dari Thailand," katanya.

Jelasnya, pada asasnya, binatang yang hendak dibawa masuk ke Malaysia perlu memiliki sijil kesihatan veterinar, sijil pelalian atau sijil imunisasi yang membuktikan bahawa haiwan itu bebas daripada segala penyakit berbahaya.

"Terdapat lebih 30 penyakit ruminan boleh berlaku sekali gus menyebabkan langkah pencegahan termasuk kuarantin amat penting.

"Oleh sebab itu, kita wajib mengambil langkah berjaga-jaga jika ingin membeli kambing murah di pasaran. Dibimbangi kambing itu membawa pelbagai penyakit jika tidak menjalani proses kuarantin dikendali Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Adalah lebih selamat untuk membeli kambing tempatan. Jika ingin membeli kambing import, pastikan kambing yang dibeli sudah dikuarantin dan disaring," katanya.

Isu kambing murah ini turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang mengesahkan ternakan itu dibawa masuk dari negara jiran tanpa proses kuarantin dan pemeriksaan veterinar melalui pemeriksaan dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.

Katanya, ujian klinikal mendapati penemuan kes penyakit bawaan haiwan yang boleh berjangkit kepada manusia menatijahkan pemakan daging kambing yang berpenyakit ini berisiko dijangkiti.


'Bukan semua kambing murah dijual ini diseludup'

Kuala Lumpur: "Jangan pukul rata!, bukan semua kambing murah yang dijual di negara ini diseludup dari negara jiran," ujar penternak dan peniaga kambing murah, Mohd Arun Shah.

Ketua Pengurus, Bahagian Operasi, Jualan & Logistik QM Global Ventures Sdn Bhd itu berkata, kambing yang dijual syarikatnya melalui prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa di negara ini.

"Kami mempunyai dokumen yang mengesahkan kambing di sini mematuhi SOP dan tidak melanggar undang-undang ditetapkan.

"Jadi kami menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa ternakan yang dijual pada harga murah di sini adalah kambing seludup dari negara jiran," katanya ketika dihubungi.

Mohd Arun berkata, pihaknya dapat menjual kambing itu pada harga yang murah berikutan ternakan itu diambil secara pukal daripada pembekal di negeri pantai timur.

"Kebiasaannya setiap kali ke sana, kami memborong sekitar 200 hingga 400 kambing dan diberikan harga lebih murah oleh pembekal.

"Pada harga itu, kami dapat menjual semula kepada pelanggan sekitar RM1,000 untuk tiga kambing seberat 25 kilogram hingga 30 kilogram. Ia tidak termasuk kos penghantaran dengan kadar keuntungan yang sedikit.

"Pelanggan juga boleh membeli seekor kambing yang dijual pada harga RM390," katanya.

Menurutnya, idea untuk menjual kambing murah ini tercipta kerana mengambil kira faktor ekonomi.

"Saya ingin memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk sama-sama dapat membuat aqiqah. Pada masa sama, saya juga ingin membantu peniaga dan penternak kecil untuk membeli serta menjual semula untuk menjana pendapatan," katanya.

Dia mengakui sejak mula menjual kambing murah, pelbagai kecaman dan fitnah diterima daripada pihak yang tidak senang dengan tindakannya menjual ternakan itu tanpa mengikut pasaran semasa.


'Tak terjual susulan pelanggan beralih kepada kambing import'

Kuala Terengganu: Sukar untuk menyaingi harga kambing Thailand berikutan kambing tempatan dijual antara RM1,000 hingga RM1,600 seekor bergantung kepada berat.

Penternak kambing, Ismail Jusoh, 72, berkata, isu kambing import mula berlaku sejak beberapa tahun lalu namun semakin serius sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, kehadiran kambing Thailand yang dijual ada harga 'melampau' murah di pasaran ketika ini menjejaskan pendapatan penternak tempatan.

"Kambing import ini boleh dibeli pada harga antara RM100 hingga RM250 seekor.

"Memang terkesan bila bekalan kambing import ini mudah diperoleh dan pembeli tentunya memilih yang murah dan beranggapan ternakan kami ini mahal.

"Apabila dengar harga kambing dijual saya berhaarga antara RM1,000 hingga RM1,600, pembeli akan kata mahal sedangkan mereka tidak melihat saiznya yang lebih besar dan berat.

"Sebagai contoh, kambing berusia dua tahun diternak beratnya boleh mencecah hampir 25 kilogram (kg) dan dijual dengan harga RM1,000. Ini berbeza berat kambing import yang seberat hanya 12 kg," katanya.

Menurutnya, kambing import ini boleh dijual murah susulan saiznya yang kecil berbanding kambing tempatan.

Menurut Ismail, kebanyakan pembelinya ketika ini adalah pelanggan tetap yang sememangnya sudah mengetahui kualiti kambing diternak sama ada daripada segi pemakanan dan persekitaran.

"Saya ternak 34 ekor kambing dan kesemuanya diberikan makanan tambahan seperti palet berharga RM60 seguni palet.

"Saya membelanjakan RM1,500 sebulan untuk membeli palet seberat 50 kilogram setiap guni.

Saya tidak pasti sampai bila gangguan harga berpunca kambing import akan terus berlaku," katanya.

Seorang lagi penternak, Mohd Syukur Khamis, 18, berkata, permintaan terhadap kambing tempatan semakin menurun sejak kemasukan kambing import dari Thailand.

"Walaupun ada kambing yang sudah cukup umur dan boleh dijual, tetapi tiada permintaan berikutan pelanggan beralih kepada kambing import dijual murah.

"Perbuatan menjual kambing import dengan harga murah dan tidak terkawal secara tidak langsung membunuh pasaran kambing tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Terengganu Goat Breeders (TGB) Mohd Shukri Saat berkata, bekalan kambing import akan menguasai pasaran tempatan sekiranya tiada kawalan serta selagi ada permintaan daripada pembeli.

Justeru, katanya, pihak berkaitan diharap dapat memantau isu berkenaan bagi memastikan kambing import ini tidak terus berleluasa di Terengganu sehingga menjejaskan pendapatan penternak tempatan di negeri ini.

"Kambing import ini juga diragui daripada aspek kesihatan kerana tidak melalui pemantauan dan pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selain tidak dijaga dengan baik seperti kambing tempatan," katanya.

TULAR di media sosial penternak menjual kambing pada harga runtuh hingga mencetuskan tanda tanya ramai.
TULAR di media sosial penternak menjual kambing pada harga runtuh hingga mencetuskan tanda tanya ramai.

Tindakan 'bunuh' pasaran tempatan

Gua Musang: Kemasukan tanpa kawalan kambing dari Thailand menjadi punca persaingan harga hingga menyebabkan kambing tempatan diternak penduduk sukar dipasarkan.

Salah seorang penternak, Suhaika Suhaimi, 32, berkata, kambing dari Thailand ditawarkan pada harga terlalu murah hingga mencecah RM300 seekor.

Menurutnya, harga murah itu 'membunuh' pasaran kambing tempatan ketika ini.

"Pembeli hanya mencari kambing tempatan untuk tujuan aqiqah kerana memerlukan kambing jantan yang cukup umur.

"Sebelum ini saya membekalkan kambing tempatan namun terpaksa menghentikan penjualan kambing berikutan harga dedak makanan kambing semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, ada peniaga tempatan yang membeli kambing dari Thailand secara borong dan menjualnya di sini pada harga amat murah.

"Memang pembeli ada pilihan namun kami sebagai penternak mengalami tekanan berikutan perlu mengira segala kos terlibat.

"Kebanyakan kambing harga murah ini adalah kambing betina dan hanya sesuai untuk buat majlis kenduri. Bagi tujuan aqiqah, pembeli tetap mencari kambing tempatan atau kambing spesies boer yang dijual mengikut saiz," katanya yang menternak dan menjual kambing sejak lebih 10 tahun lalu.


Pasukan khas kesan ladang simpan ternakan seludup

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menubuhkan pasukan khas bagi mengesan ladang yang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan seludup.

DVS dalam satu kenyataan kepada Harian Metro memaklumkan, ladang-ladang yang dikenal pasti ini akan dipantau secara rapat dari sudut tahap kesihatan ternakan ladang.

"Jika ada ternakan ladang itu diuji positif sebagai pembawa penyakit, ia akan dikuarantin dan tindakan kawalan penyakit akan diambil. Langkah ini bagi mengekang penularan penyakit ternakan dan jangkitan penyakit zoonotic kepada masyarakat. DVS juga akan memastikan pergerakan ternakan untuk penjualan dari ladang-ladang ini mematuhi prosedur kesihatan ditetapkan," katanya mengulas berkenaan isu kambing yang diseludup sebelum dijual lebih murah di negara ini.

Tindakan itu menyebabkan jualan penternak kambing tempatan di negara ini terjejas teruk.

"DVS menyedari isu harga kambing yang dijual terlalu murah di negara ini dan sedang cuba menanganinya berdasarkan skop tugas jabatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 12:00 PM