ASENSIO (kanan) meraikan gol pertama bersama  Luka Modric.
ASENSIO (kanan) meraikan gol pertama bersama Luka Modric.
AFP

REAL Madrid tidak mengendahkan ketiadaan Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan untuk mengatasi musuh Barcelona 2-0 pada aksi kedua Piala Super Sepanyol sekali gus menang dengan agregat 5-1, sebentar tadi.

Ronaldo dikenakan penggantungan lima perlawanan kerana menolak pengadil selepas dia dibuang padang pada aksi pertama, namun penggantinya Marco Asensio mengukuhkan reputasinya sebagai bintang sedang meningkat bola sepak dunia apabila dia meletakkan Madrid di depan seawal minit keempat.

Karim Benzema kemudiannya menggandakan kelebihan Real dengan gol kedua pada minit ke-39.

Barca beraksi lebih bertenaga pada babak kedua dan tidak bernasib baik sekurang-kurangnya membalas satu gol apabila percubaan Lionel Messi dan Luis Suarez terkena palang.

Kemenangan itu meneruskan rentak kemenangan Madrid di bawah kendalian Zinedine Zidane dengan juara Eropah itu menjulang tujuh trofi dalam tempoh 20 bulan sejak bekas bintang Perancis itu mengambil alih.

“Kami bermain dengan hebat malam ini,” kata Zidane. “Terutama pada babak pertama kerana ia amat mengagumkan.”

Malah Zidane tidak bimbang apabila tonggak utama Gareth Bale, Isco dan Casemiro hanya memanaskan bangku simpanan ketika kekuatan Real terselah dengan persembahan dominan dalam 45 minit pertama.

“Pasukan ini terlalu dahagakan kemenangan dan setiap kali kami bermain ia terbukti,” ujar Zidane.

“Kami perlu berterusan begini. Untuk memulakan musim sebegini memang amat bagus, tapi kami sedar satu musim yang panjang hanya baru bermula.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 9:15 AM