KARIM (kanan) meraikan gol kemenangan bersama Bale dan Ceballos di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
KARIM (kanan) meraikan gol kemenangan bersama Bale dan Ceballos di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

KARIM Benzema menyelamatkan air muka Real Madrid apabila meledak gol mengagumkan untuk membantu kemenangan 3-2 di laman sendiri ke atas pasukan tercorot La Liga, Huesca awal pagi tadi sekali gus mengekalkan permulaan sempurna jurulatih Zinedine Zidane sejak kembali ke kelab itu.

Kemenangan lewat permainan itu menyaksikan Madrid di tangga ketiga carta dengan 57 mata daripada 29 perlawanan, manakala pasukan tangga kedua Atletico Madrid mengumpul 59 mata dengan pendahulu Barcelona 69.

Huesca melakukan kejutan apabila mendahului seawal minit ketiga bagi kunjungan sulung aksi liga ke Bernabeu apabila Cucho Hernandez merembat masuk hantaran silang Ezequiel Avila melepasi penjaga gol Luca Zidane, yang dipanggil secara mengejut oleh bapanya.

Madrid menyamakan kedudukan pada minit ke-25 apabila Isco menampan masuk hantaran silang leret Brahim Diaz untuk meledak gol kedua dalam dua perlawanan sejak diserapkan kembali dalam pasukan oleh Zidane, sesudah ‘direhatkan’ bekas jurulatih Santiago Solari.

KARIM menjaringkan gol ketiga bagi memastikan kemenangan Real. — FOTO Reuters
KARIM menjaringkan gol ketiga bagi memastikan kemenangan Real. — FOTO Reuters

Real mendahului selepas sejam menerusi penamat akrobatik Dani Ceballos dari jarak dekat dan Gareth Bale patut memastikan kemenangan namun rembatannya melewati palang.

Huesca sering kali mengancam dan berhak menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi Xabier Etxeita yang menanduk masuk susulan sepakan sudut.

Namun Madrid mengelakkan daripada aib pada aksi kedua Zidane kembali ke Bernabeu terima kasih kepada warga senegaranya Benzema, yang melencongkan bola ke penjuru gol pada minit ke-89.

“Ia perlawanan yang gila tapi hebat bagi sesiapa yang datang menyaksikannya,” kata Zidane kepada wartawan.

“Kami bergelut tapi anda perlu mengucapkan tahniah kepada lawan kami dengan cara mereka bermain, mereka di tangga tercorot tapi bertindak hebat. Mereka mencetus masalah buat kami hingga ke akhir tapi kami meraih keputusan bagus yang diperlukan untuk meningkatkan moral.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:29 AM