TANDUKAN Ronaldo terjah gawang Sevilla.
TANDUKAN Ronaldo terjah gawang Sevilla.
AFP

Madrid: Jaringan hatrik Cristiano Ronaldo mengekalkan aspirasi kejuaraan La Liga buat Real Madrid apabila mereka menamatkan rekod 34 perlawanan tanpa kalah Sevilla di laman sendiri dengan kemenangan 3-2, awal pagi semalam.

Kemenangan itu meletakkan juara Eropah itu hanya dua mata di belakang Barcelona dengan baki tiga perlawanan selepas Luis Suarez menyumbat hatrik sulung buat kelab Catalunya itu ketika membelasah Cordoba 8-0.

“Tidak mudah menang di sini, tapi kami berjaya melakukannya. Kami amat gembira dan terus berjuang,” kata bos Real Madrid Carlo Ancelotti.

“Bukannya satu kebetulan mereka tidak kalah 34 perlawanan di stadium ini.”

Perlawanan itu memihak Real dalam tempoh dua minit babak pertama ketika Sevilla beraksi 10 pemain apabila Grzegorz Krychowiak berada di tepi padang bagi rawatan kecederaan muka.

Ronaldo menanduk masuk hantaran Isco dan kemudian merembat masuk kuisan Javier Hernandez beberapa minit kemudian.

Sevilla mendapat nafas semula apabila Sergio Ramos menjatuhkan Aleix Vidal pada masa kecederaan babak pertama dan Carlos Bacca menyempurnakan sepakan penalti.

Ronaldo kemudian memastikan tiga mata untuk Real dengan tandukan menakjubkan daripada hantaran silang Gareth Bale pada pertengahan babak kedua.

Namun, Vicente Iborra merapatkan jurang sekali lagi apabila dia menyepak masuk hantaran Vidal.

Hatrik ke-29 Ronaldo bersama Real membolehkannya mengumpul 42 gol dalam kempen La Liga, dua di depan Lionel Messi yang menyumbat dua gol ketika kemenangan besar Barca memastikan Cordoba turun divisyen musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 9:10 AM