Kandahar: Sekumpulan lelaki menyerbu sebuah bank di Helmand, wilayah selatan Afghanistan semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk tiga anggota polis.

Seorang daripada lima penyerang itu meletupkan dirinya di depan pintu masuk bank di Lashgar Gah, ibu negeri Helmand, untuk membolehkan empat yang lain memasukinya.

Jurucakap gabenor wilayah, Omer Zawaj berkata, sebaik berada di dalam, penyerang itu menembak pasukan keselamatan yang tiba dan mengepung bangunan berkenaan.

Serangan itu turut mencederakan 15 yang lain, termasuk enam anggota pasukan keselamatan.

Jurucakap polis Jelmand, Fareed Obaid berkata, baki empat penyerang berkenaan mati dalam pertempuran yang berlaku.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada penyerang berkenaan anggota Taliban. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:05 AM