TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan di tempat awam, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Salman Khan, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Berdasarkan pertuduhan, Salman didakwa dengan sengaja mengaibkan sehingga mendatangkan kemarahan pada seseorang bertujuan memecahkan keamanan awam.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Stephanie kemudian menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Selain itu, beliau mengarahkan reman terhadap Salman diteruskan sehingga pihak pembelaan berjaya mendapatkan pengesahan kerakyatan daripada Kedutaan Pakistan bagi penetapan tawaran jaminan.

Dalam kejadian 16 September lalu, lelaki itu yang dalam perjalanan ke Bandar Seri Begawan, Brunei, didakwa mengeluarkan ugutan berbunyi 'I'm hijacking your plane' (saya mahu merampas pesawat anda) kepada pekerja syarikat penerbangan ketika di pintu Gate 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 2:37 PM