Warga Korea, Lee Chang Whan, 33, (baju biru) menghadiri pertuduhan berkaitan dokumen palsu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
Warga Korea, Lee Chang Whan, 33, (baju biru) menghadiri pertuduhan berkaitan dokumen palsu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Korea dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk urusan kerja September tahun lalu.

Tertuduh, Lee Chang Whan, 33, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Lee dituduh menggunakan dokumen Perjanjian Subkontrak Pindaan palsu bagi kerja pemasangan cerucuk di antara dua syarikat iaitu Hyundai Engineering Sdn Bhd dan Budiwan Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Sepanggar, dekat sini, pada 22 September 2023.

Berikutan itu tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

dia berdepan penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan untuk pengurusan kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan pasport tertuduh dikembalikan bagi membolehkannya memperbaharui permit kerja.

Bagaimanapun, tertuduh diperintah untuk menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah setelah pembaharuan permit kerjanya selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 4:13 PM