KIM Swee masih tagih bisa Nazmi (kanan).
KIM Swee masih tagih bisa Nazmi (kanan).
myMetro

Kuala Lumpur: Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mahu tonggak tengah Selangor, Nazmi Faiz Mansor tampil lebih konsisten selepas ini jika ingin namanya disenaraikan dalam skuad Harimau Malaysia bagi menghadapi saingan Piala AFF di Myanmar pada November ini.

Jelas Kim Swee, aksi menarik diperagakan bekas pemain SC Beira Mar di Liga Portugal itu ketika membantu Red Giants membenam PKNS FC di suku akhir kedua Piala Malaysia Sabtu lalu belum cukup buatnya untuk kembali memanggil pemain itu.

“Saya kenal Nazmi sudah lama sejak Sukan SEA 2011 malah dia juga antara tonggak utama ketika bersama Harimau Muda beraksi pada pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik London lalu.

“Dia seorang pemain yang cukup kreatif dan bijak melorongkan hantaran di celah pertahanan lawan di samping memiliki sepakan kencang baik.

“Sudah semestinya saya mahukan dia berada dalam skuad negara dan kelebihannya itu boleh membantu pasukan. Namun saya ingin melihat dia beraksi dalam dua atau tiga aksi lagi bersama Selangor sebelum menyenaraikan namanya.

“Saya tidak akan menilai pemain hanya menerusi satu perlawanan sebaliknya akan memantau prestasinya dalam aksi lain. Bukan saja Nazmi, pemain lain juga harus beraksi konsisten setiap perlawanan,” katanya.

Nazmi yang bangkit daripada masalah kecederaan, memperagakan aksi cemerlang dengan menguasai jentera tengah ketika menewaskan PKNS, malah jaringannya pada minit ke-55 turut memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik Selangor.

Ditanya adakah kehadiran semula Nazmi mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan sebelum ini, Kim Swee mengakui Nazmi juga mempunyai kelebihan tersendiri.

“Sama ada dia boleh mengisi tempat Safiq, bagi saya tidak penting. Apa lebih utama semangat untuk mewakili negara dan percaya dengan semangat berpasukan itu lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Dalam saingan Piala AFF yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan juara pusingan kelayakan antara Brunei, Laos, Kemboja dan Timor Leste.

Kumpulan A pula diisi pasukan tuan rumah Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:10 AM