ANTARA bot nelayan di Kuala Kedah yang tidak beroperasi kerana cuaca tidak menentu. FOTO Rahmat Othman
ANTARA bot nelayan di Kuala Kedah yang tidak beroperasi kerana cuaca tidak menentu. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lapan ribu nelayan Zon A dan B di Kuala Kedah, dekat sini, tidak turun ke laut menangkap ikan berikutan angin kencang dan laut bergelora sejak kelmarin.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kedah, Baharudin Kadri berkata, pihaknya sudah memaklumkan lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Kuala Kedah, Langkawi, Tanjung Dawai, Yan dan Kuala Muda supaya menasihatkan nelayan terutama bot kecil berhati-hati turun ke laut.

"Keadaan laut bergelora dan ombak setinggi kira-kira 3 meter berbahaya kepada semua bot kecil.

"Kita akan sentiasa mengeluarkan arahan dari masa ke semasa kepada semua nelayan melalui PNK masing-masing berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, beberapa nelayan yang ditemui di Pelantar Ikan Seberang Kota dan Pelabuhan Kuala Kedah berharap keadaan angin kencang dan laut bergelora segera berakhir bagi membolehkan mereka turun ke laut mencari rezeki.

Nelayan, Anuar Abu Bakar, 43, berkata, mereka akur dengan amaran yang dikeluarkan.

"Ombak beralun ribut di tengah laut, secara automatik air akan melimpah ke daratan, namun syukur rezeki masih ada kerana banyak ikan dan udang dapat dijaring di persisir pantai.

"Biasanya udang dan ikan ini berada di tengah laut tapi arus deras dan ombak setinggi 1.5 meter sejak kelmarin menolaknya ke persisir pantai," katanya ditemui di Pelabuhan Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Sementara itu, laman Web Jabatan Meteorologi Malaysia pada 12.16 tengah hari tadi mengeluarkan amaran kategori pertama angin kencang dan laut bergelora.

Menurut laporan, angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket sehingga esok.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

"Bagi perairan Malaysia, ribut petir di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Kudat) dijangka berterusan sehingga lewat petang ini sekali gus boleh menyebabkan fenomena sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 2:49 PM