GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua serta ribut petir membabitkan beberapa kawasan perairan yang berbahaya kepada aktiviti laut dan pantai.

METMalaysia berkata, bagi Seksyen A iaitu perairan, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m).

Katanya, situasi itu dijangka berlaku di perairan Perlis dan Kedah, Pulau Pinang serta Perak dalam tempoh Isnin hingga Jumaat depan dan ia berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

"Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka berlaku di perairan Perlis dan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat dan Sabah hingga 2 petang, hari ini.

"Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang hingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 m dan berbahaya kepada bot kecil," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi Seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran sama kategori kedua iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 m pula dijangka di kawasan perairan Phuket bagi tempoh bermula Isnin sehingga Jumaat depan.

Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu juga berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

"Amaran sama bagi kategori pertama iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5m juga dijangka di kawasan perairan Selat Melaka utara dalam tempoh sama.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

Sementara itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan, Sulu dan Sulawesi hingga 2 petang ini.

"Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m dan berbahaya kepada bot kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 10:45 AM