Keadaan di pelantar ikan Seberang Kota Kuala Kedah yang lengang berikutan kekurangan hasil tangkapan sejak hampir tiga minggu lalu menyebabkan harga ikan meningkat. - Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Keadaan di pelantar ikan Seberang Kota Kuala Kedah yang lengang berikutan kekurangan hasil tangkapan sejak hampir tiga minggu lalu menyebabkan harga ikan meningkat. - Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Peningkatan harga ikan yang mendadak di negeri ini sejak sebulan lalu, disebabkan perubahan angin monsun timur laut sejak hampir tiga minggu lalu menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

Ahli Lembaga Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD) Abdul Hamid Bahari berkata, keadaan ini menyebabkan sebahagian besar daripada 10,000 nelayan di negeri ini tidak ke laut menangkap ikan berikutan angin kencang dan ombak besar yang menjadi punca kekurangan hasil tangkapan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, harga ikan kembung kini antara RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding RM6 hingga RM8 sebelum ini.

"Namun harga ikan ini akan terus meningkat jika keadaan monsun tidak berubah yang mengakibatkan laut bergelora dan angin kencang.

"Berikutan itu kita terpaksa menghentikan sementara penghantaran ikan dari negeri ini ke besar seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor sejak empat hari lalu sehingga keadaan kembali pulih," katanya yang ditemui di pejabatnya di Wisma Nelayan Kuala Kedah, di sini, tadi.

Pengusaha bot nelayan, Md Noor Awang, 50, berkata kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan kerana ramai nelayan tidak dapat turun ke laut sejak beberapa minggu lalu disebabkan ombak setinggi 2.5 meter hingga 3 meter.

Harian Metro hari ini melaporkan harga ikan kembung di pasar dijual hingga RM18 sekilogram sejak 1 Januari lalu berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.

Tinjauan di seluruh negara mendapati harga ikan naik RM1 hingga RM15 sekilogram sejak banjir mula melanda pantai timur minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 3:26 PM