Zuliaty Zulkiffli 


Alor Setar: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, mula menyimpan bekalan ikan segar sejak beberapa hari lalu sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua air pasang besar yang dijangka berlaku minggu ini.

Pengerusinya Abdul Hamid Bahari berkata, sebagai persediaan, 200 tan pelbagai jenis ikan disimpan di Wisma Nelayan Kuala Kedah dan pihaknya menyimpan sehingga 700 tan bergantung pada hasil tangkapan dan keadaan cuaca.

Beliau berkata, setakat ini, hasil tangkapan berkurangan dan berlaku kenaikan harga terutama ikan kembung disebabkan keadaan ombak tinggi menyebabkan ada sebahagian nelayan tidak turun ke laut.

“Apabila berlaku kekurangan ikan, kami keluarkan simpanan ikan untuk dijual kepada pelanggan dan ketika itu berlaku sedikit kenaikan harga yang tidak boleh dielakkan.

“Harga ikan kembung bersaiz kecil kini mencecah RM4 hingga RM5 sekilo berbanding RM2 hingga RM3 sebelum ini manakala ikan kembung besar mencecah hingga RM8 hingga RM10 sekilo.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ombak dijangka boleh mencecah hingga 3.5 meter pada kelajuan angin 40 hingga 45 kilometer sejam dan ini mengancam keselamatan nelayan terutamanya bot kecil.

“Oleh yang demikian, saya berharap semua nelayan yang turun ke laut menjaga keselamatan diri dan sentiasa memakai jaket keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku ketika di tengah laut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Nelayan Kuala Kedah, di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, beliau menjangkakan gelombang kedua air pasang besar lebih buruk berbanding gelombang pertama bulan lalu dan berharap semua nelayan bersiap sedia menghadapinya.

Beliau berkata, walaupun tiada kerosakan teruk dialami dalam kejadian lalu, dia berharap semua nelayan membabitkan jumlah hampir 5,000 nelayan di kawasan Kuala Kedah supaya tidak turun ke laut sekiranya cuaca hujan atau ombak bergelora.

“Kami menjaga keseluruhan nelayan sembilan kuala di bawah PNK Kuala Kedah membabitkan Kuala Tunjang, Kuala Kerpan, Kuala Kedah, Kuala Sala, Kuala Sanglang, Kuala Kuar, Kuala Tebengau, Kuala Jerlun dan Kuala Kangkung dan berharap mereka sentiasa mematuhi amaran Jabatan Meteorologi untuk keselamatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 8:54 AM