GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama serta ribut petir membabitkan beberapa perairan yang berbahaya kepada aktiviti laut dan pantai sehingga 6 petang hari ini.

METMalaysia berkata, bagi Seksyen A iaitu perairan, amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan membabitkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Katanya, situasi itu dijangka berlaku di perairan Johor Barat dan Sabah Timur dan ia berbahaya kepada bot kecil.

Katanya, bagi Seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran sama kategori pertama iaitu angin kencang barat dan laut bergelora berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter pula dijangka di perairan Phuket sehingga Isnin depan.

Menurutnya, angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Selatan, Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan, Palawan, Sulu dan Sulawesi sehingga 6 petang ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 2:27 PM