Dalam kehangatan berita seorang pelakon wanita dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didapati berkhalwat dengan teman lelakinya, SS dengar gosip pula mengenai satu cerita lain yang berupa rancangan bermotif udang di sebalik batu seorang lelaki. Dia dikatakan mahu mengahwini teman wanitanya juga seorang pelakon.

Khabarnya, sudah sering pelakon itu dilamar untuk menjadi isterinya namun bermacam alasan yang diberikan menyebabkan lelaki itu rasa diperdaya.

Walhal lelaki itu yang bekerja di syarikat swasta bukan saja sanggup menceraikan si isteri sebagai bukti cintanya kepada pelakon itu.

Bahkan sudah banyak wang dilaburkan kepada kekasihnya yang ditatang bagai minyak penuh hingga keperluan anak bersama bekas isteri pun terpaksa diabaikan.

Sumber SS menambah, lelaki itu bagaikan orang mabuk angau dan sepertinya tidak mampu hidup tanpa artis itu walhal dia sedar kekasihnya itu mulai curang. Memperdagangkan maruah asalkan memperoleh kemewahan.

Walaupun lelaki tadi terasa seperti mahu memutuskan hubungannya dengan artis itu, namun setiap kalinya juga dia akan cair bila dipujuk rayu.

Lagipun, dia sudah melakukan pengorbanan besar menceraikan isterinya demi artis itu. Justeru, dia tak mahu menanggung malu apabila ditempelak sekadar melepaskan batuk di tangga atau barang mainan pelakon tadi.

SS: Kagum dengan mereka yang sedang bahagia bersama cinta baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:01 AM