Kalau sudah namanya kacak serta bertubuh sasa pula, hati wanita mana yang tidak cair untuk bertakhta di hati.

Begitulah kisahnya mengenai seorang artis lelaki ini.

Hendak dikatakan dia sudah popular, rasa-rasa SS dia belum layak lagi berada di tahap itu. Tetapi, dengarnya ramai juga wanita angau dengannya.

Antaranya termasuklah seorang gadis ini yang diceritakan seorang teman sering mengikut artis lelaki itu ke mana saja. Hendak dikata gadis itu pembantu peribadinya, artis berkenaan setahu SS sudah ada pengurus.

Jadi, apa agaknya status gadis itu. Hendak kata dia teman istimewa atau tunangan artis lelaki terbabit, belum pernah pula SS dengar sebarang cerita atau pengumuman dibuatnya.

Entahlah, dunia artis ini SS lihat banyak sangat ragam. Mana tahu, kalau ditanya nanti artis lelaki itu mengaku pula gadis berkenaan adalah adik saudara, sepupu atau pun kakak saudara dari kampung.

SS bukan main tembak sembarangan saja, tetapi semacam boleh mengagak jawapan biasa yang akan diberikan nanti. Apapun, tunggu sajalah berita baik­nya.

Sekarang pun SS hanya mahu bersikap positif dan bersangka baik saja. Namun, SS yakin apabila sampai masanya artis lelaki itu akan sedia tampil membuat pengakuan.

SS: Seorang teman selalu mengeluh, penantian satu penyeksaan. Betul ke?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:14 AM