Zeid
Zeid
AFP

Manila: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyelar Presiden Rodrigo Duterte ‘jelas tidak faham langsung’ isu hak asasi manusia yang jelas satu kritikan terhadap perang jenayahnya yang melihat lebih 3,000 terbunuh.

Kritikan itu dibuat ketua hak asasi PBB Zeid Ra’ad Al Hussein selepas Duterte menggelar Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon ‘bodoh’ dan mengancam menarik diri daripada organisasi itu susulan kritikan terhadap pembunuhan tanpa perbicaraan dilaksanakannya dalam kempen antidadahnya.

Duterte yang terkenal bermulut lancang berkata, ‘dia tidak peduli langsung’ dengan pelbagai kritikan antarabangsa terhadapnya termasuk daripada PBB dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama.

Dalam ucapannya di Geneva, Zeid berkata: “Kenyataannya tidak langsung menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa seterusnya menunjukkan dia tidak faham prinsip serta institusi hak asasi yang melindungi masyarakat dunia.”

Duterte, 71, menang besar dalam pilihan raya Mei lalu selepas berjanji membunuh 100,000 penjenayah dan melindungi polis daripada pendakwaan berhubung pembunuhan yang tidak melalui proses mahkamah.

Bulan lalu, Duterte mengumumkan perintah ‘tembak mati’ terhadap pengedar dadah yang diselar Zeid sebagai ‘mengetepikan keadilan.’

Bagaimanapun, semalam, wakil khas Filipina ke PBB Cecilia Rebong berkata, Duterte tidak pernah memberi kuasa kepada polis untuk menembak mati sesiapapun.

“Dia kata, polis berhak mempertahankan diri jika nyawa mereka dalam bahaya,” katanya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Jurucakap Duterte, Ernesto Abella menambah, pemimpin itu tidak menggalakkan pembunuhan di luar proses mahkamah, tetapi ‘hak asasi tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk membolehkan dadah terus tersebar secara meluas di negara kami.’

Polis semalam melaporkan, 1,506 terbunuh dalam operasi antidadah sejak Duterte dilantik, dua bulan lalu.

Seramai 1,715 diklasifikasikan ‘kematian yang sedang disiasat,’ merujuk kepada mereka yang terbunuh dalam keadaan yang menimbulkan syak, termasuk oleh orang awam atau yang mayatnya ditemui dengan papan tanda mendakwa mereka pengedar dadah.

Zeid menggesa Filipina membenarkan penyiasat PBB menyiasat semua pembunuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:39 AM