DUTERTE
DUTERTE
AFP

Manila: Lebih 300 kumpulan antidadah dan hak asasi manusia di seluruh dunia semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk kempen memerangi dadah yang diterajui Presiden Filipina, Rodrigo Duterte selepas beratus-ratus suspek dibunuh.

Gesaan kepada Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB) dan Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) itu dibuat ketika senator berpengaruh Filipina mendesak satu siasatan dijalankan terhadap kes pembunuhan beberapa pengedar dadah.

Senator Leila de Lima dan organisasi asing memetik laporan, polis membunuh ratusan orang sejak Duterte memenangi pilihan raya Mei lalu.

“Duterte sepatutnya memastikan keselamatan dan hak individu yang menggunakan dadah, tetapi sebaliknya dia mengarahkan mereka di bunuh,” menurut kenyataan beberapa kumpulan seperti Yayasan Dadah Australia dan Gabungan Dasar Dadah Kanada.

Kenyataan itu mendesak INCB dan UNODC untuk mengutuk pembunuhan itu dan menamatkan kekejaman berkenaan.

Sejak berkuasa pada 30 Jun lalu, Duterte berjanji untuk melindungi polis dan tentera daripada dikenakan tindakan kerana membunuh penjenayah, malah dia juga menggesa rakyat biasa dan pemberontak komunis menyertai kempen membunuh penjenayah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:51 AM