GAMBAR fail menunjukkan pemandangan dari udara di Amatrice selepas dilanda gempa bumi, Ogos lalu.
GAMBAR fail menunjukkan pemandangan dari udara di Amatrice selepas dilanda gempa bumi, Ogos lalu.
Agensi

Rome: Bandar Amatrice yang teruk dilanda gempa bumi bulan lalu memfailkan kes fitnah jenayah terhadap majalah satira Perancis Charlie Hebdo berhubung lukisan kartun yang menggambarkan mangsa bencana itu terperangkap di celah lapisan lasagna.

Peguam yang mewakili Amatrice, Mario Cicchetti memberitahu The Associated Press menerusi telefon bahawa dia memfailkan aduan mengenai kartun berkenaan di pejabat pendakwa raya di Rieti, ibu negeri wilayah di mana Amatrice terletak.

Charlie Hebdo menerbitkan dua kartun yang jelas merujuk kepada mangsa di Amatrice - bandar berbukit di mana hampir 295 orang terbunuh dalam gempa pada 24 Ogos lalu yang terkenal dengan sos tomato khasnya.

Satu kartun menunjukkan tangan dan kaki mangsa terjulur dari lapisan lasagna dan percikan sos pada mereka yang terselamat.

Sementara kartun kedua menggambarkan runtuhan akibat gempa itu dengan keterangan: “Bukan Charlie Hebdo yang bina rumah anda tetapi Mafia.”

Pendakwa raya akan memutuskan sama ada aduan fitnah itu mempunyai merit.

“Kartun itu sangat kejam, tidak masuk akal dan tidak dapat difahami. Ia tidak langsung menunjukkan sensitiviti atau hormat terhadap mangsa.

“Semua mangsa bencana berkenaan, sama ada yang terkorban atau terselamat kehilangan sekurang-kurangnya tiga hingga empat orang tersayang. Ibu, bapa, adik-beradik dan ahli keluarga lain,” kata Cicchetti.

Sementara itu, peguam Charlie Hebdo, Richard Malka enggan mengulas perkara itu sehingga dimaklumkan secara rasmi mengenainya.

Pendakwa kini perlu melakukan siasatan untuk melihat sama ada wujud kes untuk dibicarakan dan, jika ya, ia akan diputuskan pula hakim dalam satu prosiding untuk menentukan sama ada pendakwaan wajar dilakukan.

Jika didakwa, dibicarakan dan seterusnya didapati bersalah, pihak terbabit kemungkinan diarahkan membayar pampasan jika tuntutan sivil turut dikemukakan.

“Sebarang ganti rugi yang akan diberikan kepada bandar itu akan diserahkan kepada mangsa gempa bumi,” kata Cicchetti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:51 AM