TERBITAN majalah Charlie Hebdo terbaru mengenai penemuan serpihan pesawat MH370.
TERBITAN majalah Charlie Hebdo terbaru mengenai penemuan serpihan pesawat MH370.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Mereka (Charlie Hebdo) memang tidak beradab dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang bersedih,” tegas Selamat Omar, 61, bapa kepada penumpang pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS), Mohd Khairul Amri, 28.

Menurutnya, tindakan majalah satira Perancis itu menjadikan berita penemuan serpihan pesawat MH370 sebagai bahan jenaka tidak bertanggungjawab dan menambah duka di hati ahli keluarga.

“Kami masih berduka dengan khabar serpihan itu disahkan milik MH370, tindakan akhbar itu menjadikan berita berkenaan sebagai gurauan menambah gundah di hati kami.

“Saya mewakili keluarga MH370 berharap mereka atau pihak lain (akhbar lain) hentikanlah tindakan ‘menghina’ mangsa yang terkorban,” katanya kepada Harian Metro.

Muka depan Charlie Hebdo menerbitkan tajuk “Penerbangan Malaysia: Harapan”, dengan memaparkan kartun menyerupai bahagian tangan juruterbang yang memegang bahagian payudara pramugari.

Malah, jelas tertera tulisan dalam bahasa Perancis bermaksud ‘Kami menemui cebisan juruterbang dan pramugari’ yang jelas menghina mangsa yang terkorban.

Pejabat Charlie Hebdo di Paris pernah diserang dua lelaki bersenjata pada 7 Januari lalu apabila mengeluarkan kartun menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW hingga menyebabkan 12 terbunuh dalam serangan itu.

Sementara itu, isteri pramugara MH370 Wan Swaid Wan Ismail ketika dihubungi mengaku tidak peduli dengan jenaka yang dilemparkan pihak luar kepada Malaysia berhubung kehilangan pesawat terbabit.

Jelas Nur Laila Ngah, 41, dalam keadaan sekarang, dia langsung tidak hairan sekiranya isu penemuan MH370 dipermainkan segelintir pihak.

“Kalau dulu, ketika dia (Charlie Hebdo) menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, memang saya marah. Tapi sekarang, saya tidak kisah.

“Mereka boleh berlawak sesuka hati... malah, rakyat kita sendiri pun ada yang menjadikan MH370 bahan jenaka,” luahnya.

Nur Laila berkata, dia tidak mahu bersikap sensitif, apalagi selepas melihat kerajaan dan Malaysia Airlines (MAS) tidak sensitif terhadap perasaan waris MH370.

“Mereka (media asing) boleh kata apa saja kerana tidak merasai kesedihan yang dihadapi mangsa seperti kami.

“Bagi saya dan keluarga, kami menerima ketentuan ini sejak awal dan pasrah dengan apa yang berlaku.

“Kami tidak mahu memikirkan banyak perkara dan hanya menanti khabar untuk mengetahui perkembangan MH370,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:19 AM