GAMBAR fail, askar AS menjalani latihan menembak bersama askar Filipina. - Agensi
GAMBAR fail, askar AS menjalani latihan menembak bersama askar Filipina. - Agensi
AP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mahu tentera Amerika Syarikat (AS) yang membantu menentang kumpulan Abu Sayyaf keluar dari negara itu dan mendakwa AS menyemarakkan pemberontakan di selatan Filipina.

Duterte mendakwa askar AS membunuh penduduk beragama Islam ketika misi keamanan pada 1990-an yang menjadi punca utama kekacauan di wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Selagi kita bersama AS, selagi itu tiada keamanan di tanah ini,” katanya dalam satu majlis di sini kelmarin.

Duterte juga menunjukkan gambar mayat penduduk termasuk kanak-kanak dan wanita yang dibunuh askar AS dan dicampak di dalam lubang di Bud Daho di wilayah Sulu.

Gambar berkenaan menunjukkan beberapa askar AS berdiri di tepi kubur besar berkenaan.

“Pasukan khas tentera AS itu perlu pergi dari negara ini, mereka perlu pergi.

“Saya tidak mahu bertelagah dengan AS tetapi askar ini perlu pergi,” tegasnya.

Pada 2002, tentera AS menghantar askarnya untuk melatih, memberi nasihat dan menyediakan senjata serta perisikan kepada tentera Filipina yang menentang militan Abu Sayyaf.

Apabila tentera AS berundur pada Februari tahun lalu sekumpulan anggota pasukan khas tinggal untuk memberi nasihat ketenteraan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby kelmarin memberitahu, Washington menyedari komen Duterte itu tetapi tiada permintaan rasmi dari kerajaan Filipina.

Katanya, AS masih komited dengan hubungan dengan sekutu lamanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:42 AM