Manila: Pendakwa semalam mendakwa seorang askar marin Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan membunuh seorang pondan warga tempatan dalam kejadian yang menyemarakkan sentimen anti-Amerika di Filipina.

Ketua Pendakwa Emilie Fe delos Santos berkata, Prebet Kelas Pertama Joseph Scott Pemberton dipercayai menyalahgunakan kuasanya serta bertindak kejam terhadap mangsa.

“Jika dilihat pada kecederaan dialami mangsa, nyata dia diseksa dengan kejam. Kami percaya mempunyai kes kukuh terhadap tertuduh,” katanya.

Menurutnya, Pemberton tidak akan dibenarkan dijamin dan berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun jika didapati bersalah.

Mangsa, Jennifer Laude, 26, atau nama asalnya Jeffrey, ditemui mati pada 12 Oktober lalu di sebuah hotel murah di bandar pelabuhan Olongapo.

Mayatnya ditemui separuh bogel dengan kesan jerut pada lehernya. Laporan bedah siasat menunjukkan dia mati kerana asfiksia akibat lemas .

“Ini bukan kes bunuh biasa. Perbuatan tertuduh keji kerana mangsa turut dibelasah,” kata peguam Laude, Harry Roque kepada pemberita.

Pemberton mendaftar masuk ke hotel berkenaan dengan mangsa selepas selesai menjalani latihan tentera AS-Filipina berhampiran Olongapo. Dia juga orang terakhir dilihat bersama mangsa.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 1:00 PM