ANTARA babak dalam filem First Man. FOTO/AGENSI
ANTARA babak dalam filem First Man. FOTO/AGENSI
Reuters

LOS ANGELES: Keluarga angkasawan Neil Armstrong semalam mempertahankan satu filem baru yang didakwa bersifat anti-Amerika kerana tidak memasukkan babak memacak bendera Amerika Syarikat sebagai lambang lelaki pertama di bulan.

Filem ‘First Man’ lakonan aktor Kanada, Ryan Gosling sebagai mendiang angkasawan itu, bakal ditayangkan buat julung kalinya di Festival Filem Venice awal minggu ini. Ia mendapat pelbagai reaksi meluas pengkritik menjadikannya antara filem awal yang bakal dicalonkan menjelang musim anugerah di Hollywood.

“Kami tidak sedikitpun merasa bahawa filem ini bersifat anti-Amerika. Malah, ia adalah sebaliknya,” kata dua anak lelaki Armstrong, Rick dan Mark dalam satu kenyataan.

Senator Republikan Marco Rubio menyifatkan ketiadaan babak itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima akal.

“Rakyat Amerika membayar misi itu, untuk roket yang dibina oleh orang Amerika, dengan teknologi Amerika dan membawa angkasawan Amerika,” tambah Rubio di Twitter.

Pengarah ‘First Man’ Damien Chazelle turut menafikan dia cuba membuat satu kenyataan politik dengan tidak memasukkan babak khusus ketika pendaratan di bulan pada 1969. Bagaimana pun filem ini tetap menunjukkan babak bendera di bulan.

“Untuk menjawab soalan sama ada ia adalah kenyataan politik, jawapannya tidak,” kata Chazelle dalam satu kenyataan.

Chazelle dan anak-anak Armstrong berkata filem ini memfokus kepada kisah peribadi angkasawan itu dan cabaran yang dihadapinya untuk sampai ke bulan. Armstrong meninggal dunia pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 7:59 AM