Agensi

Pemberton (AS): Seorang bayi baru lahir mati selepas ibunya didakwa menyimbah petrol dan membakarnya di tengah jalan di sini.

Saksi berkata, Hyphernkemberly Dorvilier, 22, keluar dari kenderaannya dan berhenti di tengah-tengah jalan di bandar Pemberton, New Jersey, kelmarin dan membakar bayi itu hidup-hidup.

Anggota perubatan yang tiba di tempat kejadian membawa mangsa yang melecur teruk tetapi masih bernyawa dengan helikopter ke Hospital St Christopher di Philadelphia.

Bayi malang itu bagaimanapun disahkan mati tidak lama kemudian.

Pasukan kecemasan berkejar ke tempat kejadian selepas penduduk melaporkan terdapat kekecohan di sebuah rumah sebelum kejadian ngeri itu.

Menurut saksi, wanita yang membakar bayi itu dibawa ke Hospital Deborah di Brown Mills, New Jersey.

Dia ditangkap selepas keadaannya stabil.

Jirannya, Dave Joseph, 45, memberitahu media, wanita itu menipunya dengan berkata dia membakar najis anjing dan kelihatan sangat tenang ketika melakukannya.

Namun, isteri Joseph menyedari apa yang berlaku sebelum dia menjerit.

Hyphernkemberly cuba melarikan diri tetapi sempat ditahan oleh penduduk.

“Ia sukar dibayangkan. Ia perbuatan kejam yang tak mungkin tergamak dilakukan oleh orang lain. Saya berharap dia mendapat balasannya,” kata Joseph.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:26 AM