DUTERTE (kiri) disambut oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sebelum mereka memulakan mesyuarat di kediaman rasmi Abe, di Tokyo, semalam.  - AP
DUTERTE (kiri) disambut oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sebelum mereka memulakan mesyuarat di kediaman rasmi Abe, di Tokyo, semalam. - AP
AFP

Tokyo: Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata, dia mahu tentera Amerika Syarikat berundur dari negaranya dalam masa dua tahun dan bersedia untuk membatalkan perjanjian pertahanan dengan sekutu lamanya itu jika perlu.

Ia kenyataan anti-Amerika terbaru pemimpin Filipina berkenaan yang sebelum ini berulang kali mengecam Washington sambil mengambil langkah mengeratkan hubungan dengan Beijing.

“Saya mahu, mungkin dalam masa dua tahun, negara saya bebas daripada kehadiran tentera asing,” kata Duterte di forum ekonomi di Tokyo, semalam, jelas merujuk kepada tentera AS.

“Saya mahu mereka keluar dan jika saya perlu mengkaji semula atau membatalkan perjanjian yang ada, saya akan lakukannya,” kata pemimpin Filipina itu.

Amerika Syarikat yang satu ketika dulu mempunyai pangkalan tentera yang besar di Filipina, kini hanya mempunyai sejumlah kecil komando di Mindanao untuk membantu negara itu melancarkan operasi antikeganasan.

Duterte sebelum ini berkata, dia mahu tentera Amerika berundur dari Mindanao kerana kehadiran mereka, menurutnya, hanya mencetuskan ketegangan di pulau berkenaan, tempat keganasan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Pemimpin mulut celupar itu tiba di Tokyo kelmarin, lawatan pertamanya ke Jepun sejak menjadi presiden 30 Jun lalu.

Duterte bermesyuarat dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe lewat semalam.

Walaupun, Tokyo banyak bergantung kepada Amerika Syarikat untuk keselamatan, setakat ini ia tidak pernah mengulas sebarang kecaman Duterte terhadap sekutunya itu.

Duterte juga berusaha mengurangkan kebimbangan Jepun mengenai lawatannya ke China baru-baru ini dengan berkata, dia tidak berusaha menjalinkan hubungan ketenteraan dengan Beijing.

“Kami tidak bercakap mengenai senjata atau tentera. Kami hanya berbincang mengenai ekonomi,” katanya pada forum berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:30 AM