DUTERTE (kanan) disambut Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida sebelum mesyuarat mereka di Tokyo, semalam. - AFP
DUTERTE (kanan) disambut Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida sebelum mesyuarat mereka di Tokyo, semalam. - AFP
Agensi

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam menggesa ahli perniagaan asing di Filipina yang bimbang mengenai kempen antidadah yang dilancarkannya supaya meninggalkan negara itu.

Dia membuat gesaan itu sebelum berlepas ke Jepun untuk menarik pelaburan.

Duterte menyuarakan kemarahannya itu sebagai mengulas kenyataan duta kanan Amerika Syarikat (AS) ke Asia kelmarin yang berkata, kenyataan celupar Duterte dan perang menentang jenayah yang sudah meragut kira-kira 3,700 nyawa dalam tempoh empat bulan akan menjejaskan perniagaan.

“Rakyat Amerika memang gila. Mereka fikir mereka bagus sangat,” kata Duterte sambil memegang akhbar dengan tajuk mengenai kritikan Penolong Setiausaha Negara AS, Daniel Russel.

“Russel berkata ‘kenyataan Duterte mencetuskan kebimbangan komuniti perniagaan.’ Kalau begitu, anda bungkus dan tinggalkan negara ini. Kami akan bangkit semula, saya jamin ia akan berlaku,” kata Duterte.

Dia kemudian berlepas ke Jepun, antara sekutu kanan AS di Asia, untuk lawatan tiga hari, sebahagiannya untuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala.

Duterte yang mendakwa dirinya sosialis dengan hubungan yang agak rapat dengan komunis mengumumkan di Beijing minggu lalu mengenai ‘perpisahan’ negaranya dari AS.

Ia mencetuskan tanda tanya mengenai pakatan yang sudah terjalin selama 70-tahun, khususnya mengenai perjanjian keselamatan.

Dia bagaimanapun menarik balik kenyataan itu sekembalinya dari China dengan berkata, ‘perpisahan’ yang dimaksudkan itu bukan bermakna memutuskan hubungan dengan AS dan pakatan bersama negara itu akan diteruskan.

Tetapi, kecaman anti-Amerika dan Barat masih diteruskan.

Semalam, Duterte juga berkata, dia bukan anjing suruhan Amerika Syarikat dan sekali lagi menyuarakan kemarahan terhadap kritikan Washington dan Eropah berhubung kempen antidadahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:16 AM