Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan mengagihkan 5,000 tiket percuma mulai jam 6 petang ini kepada peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana antara Pulau Pinang dan DRB Hicom di Stadium Bandaraya, malam ini.

Pengumuman itu dibuat Pengurus Pulau Pinang Mohd Azizudin Mohd Shariff dantiket percuma itu akan diberikan satu setiap orang di dua pintu masuk di Jalan Perak dan Jalan Datuk Keramat.

Mohd Azizudin berkata, sumbangan ikhlas daripada seorang penderma yang sudi menaja tiket percuma itu adalah untuk mengalakkan lebih ramai peminat bola sepak hadir memberi sokongan terhadap pasukan Harimau Kumbang.

Beliau berkata, sumbangan itu diberikan sebagai satu galakan serta sokongan moral terhadap pemain dalam usaha untuk mencipta kemenangan selepas berjaya menundukkan Sabah 4-0 Jumaat lalu.

Katanya, kejayaan cemerlang itu turut melonjak skuad Harimau Kumbang dari tangga ke empat ke tangga kedua dengan memperolehi 39 mata dan berpeluang cerah layak ke Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 12:35 PM