MARQUEZ menjulang trofi dimenanginya.
MARQUEZ menjulang trofi dimenanginya.
AFP

Washington: Pelumba Sepanyol, Marc Marquez meraih gelaran kelima berturut-turut pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Amerika selepas menewaskan penunggang Itali, Valentino Rossi dengan 3.069 saat.

Penunggang Honda itu, yang meraih kemenangan di AS semuanya dari petak pertama, menang dengan catatan masa 43 minit 58.770 saat manakala pelumba Yamaha, Rossi kedua dengan penamat terbaiknya di litar Texas.

Penunggang Honda dari Sepanyol, Dani Pedrosa di tangga ketiga dalam penyudah podium ketiganya di litar sepanjang 5.513km yang mempunyai 20 selekoh di Austin.

Marquez, yang menang dalam 11 perlumbaan berturut-turut di litar AS, bangkit daripada pelanggaran awal di Argentina dua minggu lalu dalam usaha merebut gelaran dunia keempat dalam tempoh lima tahun dan kedua berturut-turut.

“Ia perlumbaan penting kerana selepas Argentina adalah penting untuk bangkit dengan cara terbaik jadi kami amat gembira dengan keputusan ini,” kata Marquez.

“Biarpun saya menang, ia begitu sukar kerana suhu lebih tinggi berbanding semalam. Lima minit sebelum bermula, saya berkata kepada ketua mekanik, ‘Baiklah, mari gunakan tayar keras kerana saya sedar saya akan lebih banyak menghauskan tayar hadapan.”

Pelumba Sepanyol Maverick Vinales, yang mendahului saingan selepas menjuarai dua perlumbaan di Qatar dan Argentina terbabas ketika menunggang Yamaha pada awal perlumbaan dan kehilangan kelebihan mata ke atas rakan sepasukan Rossi yang mengutip 56 mata berbanding 50 buat Vinales manakala Marquez di tangga ketiga keseluruhan dengan 38 mata.

Penunggang di barisan kedua Pedrosa dan Jorge Lorenzo dari Ducati bangkit seawal perlumbaan dan kekalutan pusingan pertama menamatkan cabaran Vinales pada selekoh ke-18 buat kali pertama tanpa sebarang mata sejak tahun lalu di Argentina.

Marquez mula menjarakkan dirinya pada pusingan kelapan.

“Saya berada di belakang Dani apabila melihat dia bergelut dan Valentino mula mencabar, saya berkata, ‘Masanya untuk menyerang,’” katanya.

Rossi, yang pernah mengalami pelbagai masalah di Texas termasuk mengalami pelanggaran tahun lalu, memintas Pedrosa pada saat akhir untuk tangga kedua sekali gus mendahului pungutan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:52 AM