KAPAL mewah Costa Victoria.
KAPAL mewah Costa Victoria.
PEMANDANGAN ketika malam dari atas dek dalam pelayaran Costa Victoria.
PEMANDANGAN ketika malam dari atas dek dalam pelayaran Costa Victoria.
DEMONSTRASI memasak masakan Itali disediakan dalam pelayaran Costa Victoria
DEMONSTRASI memasak masakan Itali disediakan dalam pelayaran Costa Victoria
FESTIVAL Venice di atas Costa Victoria  yang penumpang diwajibkan berpakaian cantik dan bertopeng.
FESTIVAL Venice di atas Costa Victoria yang penumpang diwajibkan berpakaian cantik dan bertopeng.
RUANGAN restoran sedia hidangan bufet.
RUANGAN restoran sedia hidangan bufet.
KABIN yang turut dilengkapi balkoni.
KABIN yang turut dilengkapi balkoni.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Benvenuti! Itulah istilah selamat datang dalam bahasa Itali yang akan kerap anda dengar tatkala mengikuti pelayaran mewah Costa Victoria.

Pelayaran itu memberi pengalaman bercuti di atas kapal mewah dan penumpang merasai seolah-olah berada di Itali.

Seperti penulis dan beberapa wakil media dari tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Singapura banyak yang dapat kami pelajari mengenai budaya masyarakat Eropah itu ketika diberi peluang menikmati pelayaran empat hari empat malam mengembara ke Singapura-Phuket-Pulau Pinang.

Pastinya menyeronokkan kerana penulis tidak perlu menjejakkan kaki ke Itali, tetapi dapat menikmati dan mengenali negara itu dengan lebih dekat termasuk merasai kemeriahan Festival Venice yang sangat sinonim dengan masyarakat berkenaan.

Belum pun sempat melangkah ke atas dek kapal yang menggabungkan gaya tradisional dengan reka bentuk dan kehalusan seni itu, kemeriahan di Itali sudah dapat dirasai apabila penumpang disambut penyambut tetamu yang lengkap berpakaian perayaan Festival Venice.

Festival Venice adalah karnival eksotik dan unik yang menampilkan pakaian klasik masyarakat Itali dengan topeng muka pelbagai rupa, sekali gus dapat memberi pengalaman kepada penulis yang sebelum ini hanya menontonnya di kaca televisyen.

Kapal seberat 75,200 tan itu mula berlepas dari Singapura pada lewat malam dengan membawa 2,394 penumpang dan berlayar terus ke Phuket, Thailand yang memakan masa hampir sehari semalam.

Walaupun pelayaran ke Phuket memakan masa agak lama, penulis tidak bosan kerana ada pelbagai kemudahan tersedia di dalam kapal itu, selain sarat dengan aktiviti menarik bagi mengisi masa lapang.

Bukan sekadar aktiviti, sepanjang berada di atas kapal, penumpang dihiburkan dengan pelbagai hiburan sama ada alunan muzik Itali ataupun kenyaringan suara penghibur serba boleh yang dibawa khas ke atas kapal bagi menceriakan suasana.

Jangan bimbang melakukan aktiviti di atas kapal kerana setiap hari semua penumpang diberi risalah bertajuk ‘Today’ yang sarat dengan jadual dan informasi sepanjang hari ketika di atas kapal bagi memudahkan mereka merancang aktiviti yang hendak disertai.

Sebagai ‘kaki makan’, sudah pasti ia perkara utama yang penulis bimbangkan.

Namun, usah bimbang kerana anda pasti kagum dengan menu yang disajikan di lima restoran di atas kapal yang mempunyai 12 dek ini.

Kapal yang sesuai buat mereka menyukai rekaan, simetri bentuk dan warna lembut ini turut dihiasi hasil karya seni Itali di setiap perincian rekaannya penuh dengan sejarah dan budaya menggambarkan masyarakat Eropah itu.

Kapal ini hasil rekaan Pierluigi Cerri dan sebahagiannya adalah idea Robert Tillberg, manakala pelbagai hiasan dalaman hasil seni Gianfranco Pardi.

Mula beroperasi pada 1996 sebelum diubah suai pada Oktober 2013, kapal ini mempunyai 760 kru kabin dengan 964 kabin keseluruhannya termasuk enam kabin untuk penumpang golongan orang kurang upaya (OKU).

Dengan ukuran panjang 253 meter dan lebar 32 meter, kapal yang bergerak dengan kelajuan 22 knot turut dilengkapi tiga kolam renang, empat jakuzi, spa, gimnasium, salun, gelanggang tenis dan bola keranjang, trek joging, disko, kasino, pusat persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan, pusat Internet dan 24 jam kaunter khidmat pelanggan.

Turut disediakan pusat perubatan, pejabat, kelab permainan kanak-kanak dan remaja, pusat hiburan dan permainan, kedai gambar, pusat dobi serta khidmat komunikasi e-mel satelit.

Setiap malam, penulis menghabiskan masa di ruang teater kerana kru kapal yang sangat berbakat membuat pelbagai persembahan.

Ruang teater dua tingkat yang mampu menampung 607 tempat duduk itu sentiasa penuh kerana penumpang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan luar biasa dari Itali yang mungkin tidak dapat ditonton jika tidak ke negara itu.

Menari dengan topeng muka

Masih dalam suasana yang indah, majlis makan malam Gala akhirnya menemui penumpang dan ketika inilah perayaan Festival Venice diadakan.

Pada majlis makan malam itu, penulis dan penumpang diwajibkan memakai pakaian cantik dan topeng muka yang diberikan percuma bagi menghidupkan suasana kemeriahan pesta itu.

Berkumpul beramai-ramai di tengah-tengah kapal dan menari mengikut rentak lagu dipasang membuatkan malam terakhir di atas kapal itu akan terus diingati setiap penumpang kerana itulah kali terakhir mereka dapat bergembira di atas kapal sebelum mengakhiri percutian di Singapura pada keesokan harinya.

Sebelum pulang ke tanah air, tentu perlu membeli oleh-oleh untuk buat kenang-kenangan. Penulis tidak melepaskan peluang membeli-belah di dek 7 yang seumpama berada di pusat beli-belah terkemuka.

Walaupun transaksi menggunakan dolar Amerika, ia menawarkan harga bebas cukai.

Tamat sudah pelayaran empat hari empat malam yang begitu menyeronokkan itu. Hanya gambar sebagai perakam memori dan kenangan itu indah tersemat di dalam hati dan sanubari.

Tidak dilupakan sedikit pengetahuan bahasa Itali yang masih diingati sehingga kini iaitu Buongiorno bermaksud selamat pagi, Arrivederci (selamat tinggal), Grazie (terima kasih), Buona Notte (selamat malam) dan Alla Salute (cheers atau bersorak).

Keterangan lebih lanjut mengenai pelayaran Costa Victoria boleh layari laman web www.costaasia.com.

Selepas ini, penumpang dari Malaysia tidak perlu risau untuk ke Singapura bagi mengikuti pelayaran ini kerana Costa Victoria akan memulakan operasi di pelabuhan Pulau Pinang bermula Oktober dan November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 11:18 AM