COSTA Victoria tawar  pelayaran dengan  dapur halal.
COSTA Victoria tawar pelayaran dengan dapur halal.
MENIKMATI pemandangan laut yang luas terbentang di dek paling hadapan kapal  cukup mendamaikan.
MENIKMATI pemandangan laut yang luas terbentang di dek paling hadapan kapal cukup mendamaikan.
OCEAN View Balcony antara  jenis kabin ditawarkan Costa Victoria.
OCEAN View Balcony antara jenis kabin ditawarkan Costa Victoria.
RASAI kemeriahan Festival Venice yang menghiburkan.
RASAI kemeriahan Festival Venice yang menghiburkan.
PIZA antara yang disajikan  di Costa Victoria.
PIZA antara yang disajikan di Costa Victoria.
ANTARA hidangan enak yang disajikan di sebuah restoran mewah.
ANTARA hidangan enak yang disajikan di sebuah restoran mewah.
GAMBAR kenangan wakil  media dan agensi  pelancongan dari  Malaysia dan Indonesia.
GAMBAR kenangan wakil media dan agensi pelancongan dari Malaysia dan Indonesia.
Suliati Asri


Pemandangan matahari terbit dari balkoni kabin di tingkat sembilan kapal pelayaran mewah di tengah lautan nyata sungguh mengasyikkan.

Angin Selat Melaka yang bertiup lembut bagaikan mengucapkan selamat pagi, sekali gus permulaan hari yang cukup indah.

Melihat lautan terbentang luas, bagaikan tidak percaya saat itu penulis sedang belayar menaiki kapal pelayaran mewah Costa Victoria. Lebih menarik, ini adalah pelayaran yang menyediakan hidangan halal di semua restoran di atas kapal berkenaan.

Ini pengalaman pertama penulis menaiki kapal mewah. Menginap pula di bilik mewah yang mempunyai balkoni sendiri. Ia jauh daripada sangkaan penulis saat ditugaskan mengikuti pelayaran ini.

Memenuhi jemputan Singapore Tourism Board (STB) dan Costa Victoria, penulis bersama rakan media dan agensi pelancongan dari Malaysia serta Indonesia diberi peluang merasai pengalaman pelayaran sulung Costa Victoria dengan Dapur Halal.

Dari HarbourFront, Singapura, pelayaran lima hari empat malam itu membawa seramai 2,394 penumpang bersama 766 anak kapal ke Phuket, Thailand dan Pulau Pinang sebelum kembali berlabuh.

Melangkah masuk ke dalam perut kapal mewah seberat 75,000 tan itu, kami disapa anak kapal yang mengalu-alukan kedatangan penumpang.

Selesai melakukan semua prosedur ditetapkan, penulis menuju ke bilik penginapan atau kabin yang terletak di dek 9.

Wow! Hanya itu yang mampu diungkapkan saat melangkah masuk ke kabin bernombor 90303.

Mana tidaknya, keselesaan ditawarkan bilik jenis Ocean View Balcony itu bagai menginap di hotel lima bintang di daratan.

Usai menjengah kabin yang akan diinap selama empat malam itu, seperti dijanjikan, penulis bersama empat wakil agensi pelancongan dari Malaysia berkumpul sebelum menikmati makan malam.

Makanan perkara utama yang penulis bimbangkan. Maklum kapal ini berpangkalan di Itali dan sudah pasti status makanan disajikan meragukan.

Namun, namanya pun pelayaran Costa Victoria dengan Dapur Halal. Sudah tentu segala makanan yang dihidangkan adalah halal.

Mendapat pensijilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pelayaran bermula Oktober lalu sehingga Januari depan adalah pelayaran sulung Costa Victoria dengan Dapur Halal.

Menerusi pensijilan itu, dapur untuk menyediakan semua makanan di atas kapal memenuhi piawaian JAKIM selain semua bahan masakan yang digunakan halal.

Justeru, penumpang tiada masalah menjamu selera di semua restoran di atas kapal ini. Menariknya, hidangan makanan disediakan 24 jam sehari.

Ia bermula dengan sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang secara bufet, hidangan piza bermula 10 malam hingga 2 pagi, hidangan ringan sandwic dan burger dari 2 pagi hingga 6 pagi dan kembali kepada sarapan pagi.

Sebaik kapal setinggi 12 tingkat ini belayar, penumpang perlu mengikuti latihan kecemasan. Kami dikehendaki berkumpul di dek ditetapkan mengikut kumpulan yang tertera di jaket keselamatan di dalam kabin.

Tatkala melihat jadual diberikan, pelayaran ke Phuket iaitu destinasi pertama kapal mewah ini akan berlabuh terasa cukup lama.

Terbayang kebosanan yang akan dirasai. Maklumlah, berada di tengah lautan. Pasti aktiviti yang boleh dilakukan terhad.

Namun, senarai aktiviti yang diadakan setiap hari dan dimaklumkan menerusi risalah bertajuk ‘Today’ yang diberikan setiap malam cukup padat sehinggakan penumpang tidak sempat berasa bosan.

Pelbagai kemudahan tersedia selain sarat dengan aktiviti menarik bagi mengisi masa lapang.

Penumpang juga dihiburkan dengan pelbagai hiburan sama ada alunan muzik Itali atau kelunakan suara penghibur serba boleh yang dibawa khas ke atas kapal.

Ruang teater dua tingkat 659 tempat duduk sentiasa penuh kerana penumpang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan dari Itali.

Setiap malam, teater ini mengadakan persembahan berbeza. Antaranya sarkas komedi dan Michael Jackson Show yang cukup menghiburkan.

Sejak beroperasi pada 1996 sebelum diubah suai pada Oktober 2013, kapal dengan sepanjang 253 meter dan lebar 32 meter ini turut dilengkapi tiga kolam renang (dua kolam luar dan satu kolam dalam), empat jakuzi, spa, gimnasium, salun, gelanggang tenis dan bola keranjang, trek joging, disko, kasino, pusat persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan, pusat Internet dan kaunter khidmat pelanggan 24 jam.

Turut disediakan pusat perubatan, pejabat, kelab permainan kanak-kanak dan remaja, pusat hiburan dan permainan, kedai gambar, pusat dobi serta khidmat komunikasi e-mel satelit.

Tidak mahu terikat dengan aktiviti disediakan, penumpang secara berkumpulan boleh melakukan pelbagai aktiviti dirancang sendiri dengan kemudahan bilik mesyuarat atau seminar disediakan Costa Victoria.

Pada hari kedua di atas kapal, rombongan kami tidak banyak mengikuti aktiviti disediakan pada waktu siang kerana ada kegiatan sendiri.

Dipecahkan dalam kumpulan yang menggabungkan kedua-dua negara, kami diberi tugasan yang secara tidak langsung menuntut kami meneroka setiap sudut kapal ini.

Tatkala berlabuh di Phuket dan Pulau Pinang pada hari berikutnya, penumpang dibenarkan turun dari kapal, namun perlu kembali ke pelabuhan sejam lebih awal sebelum kapal meneruskan pelayaran.

Bagi penumpang yang tidak mahu turun dari kapal, aktiviti harian yang disenaraikan di dalam risalah ‘Today’ berjalan seperti biasa.

Penggunaan telefon terhad sepanjang pelayaran. Perkhidmatan Internet yang disediakan juga memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, bagi memudahkan penumpang berhubung sesama sendiri terutama yang datang berkumpulan, aplikasi MyCosta boleh dimuat turun menjadikan perhubungan lebih lancar.

Dengan aplikasi itu, penumpang boleh menghantar pesanan ringkas dan menelefon terus ke kabin.

Cuti dan membeli-belah tidak boleh dipisahkan. Walaupun berada di lautan, aktiviti ini tetap boleh dilakukan. Deretan kedai bebas cukai di dek 7 membuatkan penumpang yang mencari pelbagai barangan tersenyum lebar.

Lebih menarik, pada masa tertentu diadakan jualan murah yang pastinya menarik perhatian penumpang.

Pelayaran pada malam terakhir sedikit berbeza, bermula dengan hidangan makan malam di lima restoran mewah di atas kapal ini.

Bagi menghargai penumpang, hidangan udang karang dan juadah istimewa lain cukup menyelerakan.

Persembahan tarian membabitkan hampir semua kru restoran termasuk memperkenalkan tukang masak yang menyediakan hidangan saban hari di atas kapal bagaikan meninggalkan kesan di lubuk hati.

Selesai menikmati hidangan, penumpang berkumpul di tengah kapal dan menari mengikut rentak lagu dipasang membuatkan malam terakhir itu akan terus diingati.

Berlabuh di HarbourFront tepat jam 2 petang, berakhirlah pelayaran lima hari empat malam yang menyeronokkan.

Bagi yang ingin mencari kelainan dalam percutian, pelayaran bersama Costa Victoria dengan Dapur Halal pastinya tidak harus dipersia-siakan.

Keterangan lanjut layari laman web www.costaasia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 12:44 PM