AROYA Cruises dijangka melakukan pelayaran sulungnya pada Disember tahun ini. FOTO Aroya Cruises
AROYA Cruises dijangka melakukan pelayaran sulungnya pada Disember tahun ini. FOTO Aroya Cruises
Agensi

Riyadh: Penumpang yang menempah pelayaran di kapal persiaran pertama Arab Saudi sudah diberi amaran supaya tidak membawa semua jenis minuman beralkohol, sebarang bahan yang boleh menjejaskan kesihatan mental atau barangan yang serupa kesannya.

Portal Independent melaporkan pengharaman itu antara senarai panjang syarat untuk penumpang di kapal bernama Aroya itu, yang merangkumi tidak boleh membawa gunting, kapak, cakera padat (CD) atau 'majalah yang melanggar kesopanan awam' di atas kapal.

Kapal Aroya Cruises dijangka melakukan pelayaran sulungnya pada Disember tahun ini, membabitkan jadual pelayaran dari pelabuhan asalnya di Laut Merah, Jeddah, ke Aqaba di Jordan dan dua pelabuhan Mesir: Sharm el Sheikh di Semenanjung Sinai dan Ain Sokhna, selatan Suez.

Usaha Arab Saudi itu dipercayai sebagai laluan pelayaran pertama di mana pengambilan alkohol bukan sebahagian daripada pengalaman dalam pelayaran.

Kapal Aroya akan mempunyai "ruang istirahat dan bar VIP eksklusif", namun tidak menyajikan minuman keras.

Penumpang akan diberitahu: "Sila semak Polisi Barang Larangan kami sebelum mengemas beg anda untuk mengelakkan sebarang kesulitan semasa perjalanan anda."

Media sebelum ini melaporkan Cruise Saudi, anak syarikat milik penuh Public Investment Fund (PIF) yang mengkhusus dalam membangunkan sektor pelayaran di Arab Saudi mengumumkan pelancaran komersial laluan pelayarannya Aroya Cruises.

Menurut Forbes, Aroya Cruises sebelum ini adalah kapal persiaran Dream World milik Genting Cruises. Ia diiklankan sebagai resort terapung sepanjang 335 meter dengan 1,678 kabin, termasuk kabin balkoni yang menghadap ke laut serta suite dan vila mewah.

Kapal itu boleh memuatkan lebih daripada 3,362 penumpang dan mempunyai 20 tempat hiburan di 18 geladak yang menyediakan pengalaman beli-belah di kedai Aroya dan persembahan di teater dengan 1,018 tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:37 AM