MURAD EBRAHIM
MURAD EBRAHIM
AFP

MANILA: Filipina hari ini menyerahkan wilayah autonomi Islam baru kepada pemimpin pemisah yang akan menerajui pemerintahan selepas melancarkan perjuangan sejak berdekad lalu.

Pemerintahan itu akan diterajui Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri sementara di hadapan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam satu majlis simbolik di Manila, lapor AFP.

Duterte berkata, walaupun usaha mewujudkan keamanan mungkin satu tugas sukar namun dia gembira dengan kemajuan yang dicapai.

“Walaupun perjalanan mencapai keamanan mungkin panjang dan sukar, tetapi saya gembira kita akhirnya mencapai titik akhir.

“Kita semua ingin melihat keganasan yang pernah menghancurkan Mindanao ini berakhir selepas ia menyebabkan kematian yang sia-sia,” katanya.

Duterte turut menyaksikan angkat sumpah beberapa anggota kerajaan peralihan Bangsamoro yang dipilih sendiri oleh MILF.

Pada Januari lalu, pengundi membuat keputusan menyokong penubuhan wilayah autonomi baru dikenali sebagai Bangsamoro sebagai kemuncak perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan pemisah yang mengorbankan lebih 150,000 orang sejak 1970an.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 12:00 AM